Anda di sini

Sentuhan magis 2002 diperlukan selamatkan kempen Korea

Advertisement

SAO PAULO, Brazil: Korea Selatan perlu menemui semula sentuhan magis Piala Dunia 2002 dalam usaha menyelamatkan kempen Piala Dunia 2014 apabila menentang pasukan yang sudah layak ke pusingan kedua, Belgium, pada perlawanan hari ini.

Selepas mengikat Rusia dan tewas 2-4 kepada Algeria, Korea, yang berada di tangga terbawah Kumpulan H, perlu menang besar ke atas Belgium sekiranya mahu terus bersaing pada kejohanan ini.

Secara logiknya, Korea akan menyertai Jepun sebagai pasukan Asia yang pulang awal dari kejohanan selepas tumpul di bahagian serangan, selain masalah di benteng pertahanan.

Tetapi jurulatih Korea, Hong Myung-Bo, boleh mengembalikan pengalaman Piala Dunia 2002 apabila beliau bermain dalam pasukan yang mengejutkan dunia apabila melangkah ke separuh akhir.

Tahun itu, ketika dibimbing Guus Hiddink dan dengan beberapa bantuan keputusan pengadil, membantu Korea mengejutkan Portugal, Itali dan Sepanyol.

Kali ini, semuanya berbeza.

Mereka seri 1-1 dengan Rusia, dengan bantuan kesilapan penjaga gol Rusia, Igor Afinkeev untuk gol pertama sebelum dimalukan Algeria.

“Sekarang kami harus melihat ke hadapan,” kata Hong selepas kekalahan kepada Algeria.

“Keputusan ini adalah akibat untuk persediaan kami. Kami harus bersedia lebih baik untuk perlawanan seterusnya, ia adalah satu-satu pilihan kami.”

Penyerang Park Chu- Young masih gagal menjaringkan sebarang gol dan Hong mempunyai teguran kepada pertahanannya selepas bolos tiga gol dalam separuh masa pertama ketika menentang Algeria.

Kelebihan buat Korea ialah Belgium, yang mendahului kumpulan dengan enam mata maksima, dijangka akan merehatkan beberapa pemain utama.

Pemain pertahanan tengah, Thomas Vermaelen dijangka direhatkan kerana kecederaan tetapi jurulatih Belgium, Marc Wilmots akan memberikan lebih banyak masa kepada penyerang Eden Hazard, yang masih belum menemui sentuhan cemerlangnya setakat ini.

“Saya belum bermain dengan baik setakat ini tetapi saya ada memberikan sumbangan penting dan ia adalah apa yang diminta oleh jurulatih,” kata Hazard.

“Saya faham ramai orang menjangkakan sesuatu dari saya da saya tahu saya boleh bermain dengan lebih baik lagi.”

Walaupun Belgium memiliki pemain bintang berkelas dunia seperti Thibaut Courtois, Vincent Kompany, Hazard, Marouane Fellaini dan Romelu Lukaku, muka baharu pasukan itu lebih mencuri perhatian.

Divock Origi, 19, mencuri perhatian apabila menjaringkan gol kemenangan ketika menentang Rusia walaupun hanya dimasukkan sebagai pemain gantian dalam dua perlawanan. — AFP

Advertisement