Anda di sini

Sarawak menangi tempat ketiga persembahan terbaik keseluruhan ‘Magic of Night 2014’

Advertisement

HEBAT: Bot berhias Sarawak yang berjaya menambat hati juri pada acara ‘Magic of Night 2014’ di Putrajaya.

KUCHING: Sarawak diumumkan oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz memenangi tempat ketiga dalam kategori persembahan terbaik keseluruhan dalam acara ‘Magic of Night 2014’ di Putrajaya baru-baru ini.

‘Magic Of Night’ adalah acara tahunan dianjuran kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia dan tahun ini merupakan edisi kelima penganjurannya.

Menurut kenyataan akhbar dikeluarkan Kementerian Pelancongan Sarawak, acara berkenaan merupakan pertunjukan bot berhias yang menggambarkan keunikan serta tarikan pelancong yang ada di Malaysia.

Sarawak dan semua negeri mengambil bahagian dalam acara itu sebagai usaha mempromosikan Malaysia kepada pelancong luar negara.

Sempena Tahun Melawat Sarawak 2014, penyertaan Sarawak dalam acara itu juga menyediakan satu lagi landasan untuk mendedahkan acara-acara pelancongan negeri ini seperti Regata Sarawak, Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia, Pesta Benak, Pesta Kaul dan banyak lagi kepada dunia luar.

Dalam pada itu, Kementerian Pelancongan Sarawak komited meningkatkan kedatangan pelancongan ke semua acara pelancongan dianjurkan di Sarawak.

Kementerian itu juga menggesa penganjur acara menghantar semua acara pelancongan mereka kepada Kementerian untuk disenaraikan dalam Kalendar Pelancongan tahunan.

“Tiba masanya Sarawak diiktiraf sebagai penganjur banyak acara pelancongan yang menarik kerana ia akan menarik kedatangan lebih ramai pelancong ke negeri itu khasnya,” kata kenyataan akhbar tersebut.

Advertisement