Anda di sini

Pertahankan kestabilan, keharmonian masyarakat

Advertisement

Oleh Hamimi Kassim //

Beliau yakin kestabilan, keharmonian masyarakat Sarawak cermin kestabilan, keharmonian negara

APA KHABAR?: Muhyiddin bersalaman dengan Taib ketika Majlis Sambutan Perayaan Gawai Dayak Karnival REDEEMS Ke-9 di Pusat REDEEMS, Kampung Apar di Bau, malam kelmarin. — Gambar Chimon Upon

BAU: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin kestabilan dan keharmonian masyarakat di Sarawak turut mencerminkan kestabilan dan keharmonian negara secara keseluruhannya.

Justeru, beliau mahu semangat tersebut dikekal dan dipertahankan untuk menjamin kehidupan yang sejahtera demi generasi masa depan negara ini.

“Kita tidak harus melihat perbezaan yang ada antara kita, sebaliknya kita perlu memberi fokus dalam persamaan kerana ialah yang mewujudkan keserasian dalam masyarakat yang pelbagai di negara ini.

“Kekuatan inilah sebenarnya yang menjadi tonggak dan tulang belakang dalam kejayaan negara kita sehingga kini dan melalui perpaduan yang kukuh, maka dapatlah kita berjalan seiring mencapai kejayaan cemerlang menjelang 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Sambutan Perayaan Gawai Dayak Karnival REDEEMS Ke-9 di Pusat REDEEMS, Kampung Apar di Bau, malam kelmarin.

Tambahnya, negeri Sarawak juga pada masa ini sedang rancak dengan kemajuan dan pembangunan ekonominya.

“Dengan pelbagai inisiatif oleh kerajaan negeri dan sokongan padu daripada kerajaan persekutuan, maka ia melonjakkan lagi ekonomi Sarawak dalam mencapai aspirasi untuk menjadi negeri maju menjelang 2030.

“Dalam menjayakan matlamat ini pula, masyarakat Bidayuh juga memainkan peranan yang penting seperti juga kaum lain di negara kita untuk sama-sama berganding bahu menjadikan Malaysia sebuah negara maju yang berlandaskan kesepakatan dan kesepaduan rakyat.

“Dan oleh itu saya menyeru kepada semua pihak supaya dapat bersama-sama berusaha ke arah mewujudkan masyarakat pelbagai kaum yang dinamik, hidup secara aman dan harmoni serta berpegang teguh kepada tradisi dan budaya kita bersama-sama,” nasihatnya.

SELAMAT DATANG: Muhyiddin disambut dengan meriah ketika hadir pada Majlis Sambutan Perayaan Gawai Dayak Karnival REDEEMS Ke-9 di Pusat REDEEMS, Kampung Apar di Bau, malam kelmarin. Turut kelihatan Adenan. — Gambar Chimon Upon

Menyentuh mengenai Majlis Sambutan Perayaan Gawai Dayak itu, Muhyiddin berkata ia merupakan sebahagian daripada aktiviti melawat Sarawak dan Malaysia pada tahun 2014.

“Melalui program seperti ini, ia pastinya memberi impak amat besar dalam meningkatkan aktiviti pelancongan di negara kita kerana kerjasama semua pihak amat penting dalam menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2014.

“Justeru, program ini amat signifikan dan negeri Sarawak merupakan salah satu destinasi tumpuan utama sempena Tahun Melawat Malaysia 2014,” katanya.

Mengulas lanjut, ujarnya, ia merupakan salah satu daripada usaha kerajaan untuk menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini sempena 50 tahun Sarawak merdeka dalam Malaysia seterusnya mencapai sasaran kedatangan 28 juta pelancong ke Malaysia tahun ini.

“Saya yakin sasaran negara kita untuk mencatat pendapatan sehingga RM57 bilion melalui sektor pelancongan dapat dicapai.

“Dan ini berdasarkan ekonomi global yang semakin menampakkan peningkatan dan pendapatan perkapita pelancong lebih tinggi.

“Maka pasti ia akan dapat mengatasi jumlah RM53.4 bilion yang kita perolehi dalam sektor pelancongan pada tahun 2009,” ujarnya.

Sementara itu, jelasnya kerajaan persekutuan akan terus bekerjasama dan memberi sokongan kepada kerajaan negeri dengan memberi peruntukan secukupnya kepada Sarawak bagi memastikan kesinambungan pembangunan negeri ini.

“Saya yakin usaha ini dapat membawa kita bersama-sama ke destinasi negara maju menjelang 2020,” ujarnya.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut melahirkan rasa gembira kerana sambutan Gawai yang diadakan ini disertai bersama oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, dan baginya ia satu penghormatan yang begitu tinggi diberikan kepada masyarakat.

Menurutnya, ini adalah bukti jelas bahawa jiwa dan semangat beliau yang sentiasa rapat dengan rakyat pelbagai kaum di negeri ini.

Dalam ucapannya, beliau turut menasihati rakyat di negeri ini supaya jangan sama sekali membiarkan pihak tertentu melaga-lagakan kita sehingga mencetuskan persengketaan dan perbalahan sehingga menyentuh soal agama, bangsa atau budaya.

“Kita harus sedar pada era teknologi, pelbagai cabaran akan terus datang bersilih ganti untuk menguji keutuhan kita.

“Namun, jika kita memiliki semangat cintakan negara nescaya kita tidak mudah terpedaya kepada pihak yang cuba untuk mengucar-kacirkan keamanan sedia ada ini.

“Dalam masyarakat yang mempunyai pelbagai budaya, bangsa dan agama maka sikap toleransi amat penting dalam kita mengekalkan keamanan dan perpaduan yang ada.

“Ini kerana ia akan memudahkan kita mencapai visi dan misi negara dalam usaha kita untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju mengikut acuan kita sendiri,” katanya.

Selain Taib, turut hadir memeriahkan majlis tersebut ialah Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem serta isteri.

Lebih 1,000 tetamu terdiri daripada masyarakat Bidayuh dari Bau, Lundu, Serian, Padawan dan Penrissen memeriahkan majlis tersebut.

Advertisement