Anda di sini

Perarakan Gawai Dayak di Kpg Taee meriah

Advertisement

Oleh Agnes Tugong //

PROMOSI KEBUDAYAAN: Kumpulan kebudayaan Kampung Taee mempersembahkan tarian tradisional.

UPACARA perarakan Gawai Dayak di Kampung Taee pada awal Jun lepas berlangsung meriah dengan penyertaan penduduk tempatan serta pelancong dari dalam dan luar negara.

Perarakan yang bermula jam 1 petang itu menyaksikan puluhan orang Bidayuh dan orang luar berarak di sepanjang kampung tersebut lengkap berpakaian tradisional diiringi paluan muzik tradisional.

Menurut pengerusi pengelola Andriesse Ridu, perarakan atau ‘birarak’ ini merupakan acara tahunan bagi penduduk setiap kali menjelang sambutan Hari Gawai Dayak yang jatuh pada 1 Jun.

“Perarakan Gawai Dayak di Kampung Taee telah bermula sejak lewat 1980-an untuk mempromosikan kebudayaan Bidayuh kepada penduduk setempat dan luar.

“Mulai tahun 1990-an perarakan ini diperhebatkan lagi dengan penyertaan lebih ramai peserta terdiri daripada penduduk kampung dan penduduk sekitar,” katanya.

CANTIK DAN SEGAK: Para peserta, termasuk pelancong dari luar negara, lengkap berpakaian tradisional tidak melepaskan peluang merakamkan gambar kenangan semasa perarakan Gawai Dayak di Kampung Taee, Serian.

Dalam pada itu, sebelum berlangsungnya acara perarakan, penduduk dan pengunjung terlebih dahulu akan dihiburkan dengan persembahan ‘live band’ di tanju yang dibina di tengah-tengah kampung tersebut.

Selain persembahan ‘live band’ Kelab Kebudayaan Kampung Taee juga akan menghiburkan penonton dengan persembahan tarian kebudayaan masyarakat Bidayuh.

Selesai acara perarakan pada sebelah petang, majlis diteruskan dengan acara hiburan di lokasi yang sama pada sebelah petang terbuka kepada orang ramai.

Dalam pada itu seperti tahun-tahun sebelumnya, pada malam sebelum upacara perarakan turut dilangsungkan jamuan malam atau ‘Nyara Mari Sawa 2014’ di Dewan Serbaguna Kampung Taee.

Majlis tersebut telah dihadiri oleh Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin Jawong merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu.

KUMAU GAWAI: Manyin (kanan) merakamkan gambar kenangan bersama Kumau Gawai Kampung Taee 2014.

Pelbagai aktiviti telah diatur antaranya, pertandingan Kumau, cabutan tiket bertuah, joget serta persembahan tarian tradisional kaum Dayak.

Persembahan kebudayaan oleh Girumpung Batan Asal Kpg Taee turut dipertontonkan dan hadirin juga tidak ketinggalan menyaksikan persembahan tarian Iban dan Orang Ulu diiringi petikan Sape.

Acara kemuncak iaitu pertandingan Kumau Gawai Kampung Taee sempena ‘Nyara Mari Sawa 2014’ disertai 12 peserta dari kawasan sekitar Kuching hingga ke Tebedu.

Johan dimenangi Alvey John dari Kpg Temong Mura, Tebedu manakala tempat kedua Jesrina Roslivia Jumban dari Kpg Payang Simpok dan tempat ketiga Marie Assunta Lester Rijed dari Kpg Simpok Padawan.

Pemenang masing-masing membawa pulang sijil penyertaan, trofi dan wang tunai RM700, RM500 dan RM300.

‘BIRARAK’: Penduduk kampung, ada yang lengkap berpakaian tradisional diiringi paluan muzik tradisional, memulakan upacara perarakan atau ‘birarak’ Gawai Dayak di sepanjang Kampung Taee, Serian baru-baru ini.

Advertisement