Anda di sini

Muzium milik semua, jaga kebersihannya, elak kegiatan vandalisme

Advertisement

MIRI: Muzium adalah milik semua pihak dan jangan melepaskan tanggungjawab berkenaan hanya kepada Jabatan Muzium Sarawak.

Pengarah Jabatan Muzium Sarawak (JMS) Ipoi Datan berkata, kebersihan muzium harus dijaga sementara kegiatan vandalisme perlu dielakkan.

“Kita harus jaga kebersihan muzium bersama-sama dan ia amat memerlukan kerjasama semua pihak,” katanya pada Seminar Kebersihan Muzium di Muzium Petroleum Miri (MPM) di sini kelmarin.

Katanya harta benda yang terdapat di muzium serta persekitarannya harus berada dalam keadaan baik untuk kesenangan semua pihak.

“Semua yang terdapat sama ada di dalam atau di luar kawasan muzium adalah milik bersama kerana ia diselenggara menggunakan wang rakyat,” katanya.

Pada masa sama, Ipoi memberitahu bahawa bukanlah niat pihak muzium untuk menghalang sesiapa mengunjungi tempat seperti itu namun kegiatan vandalisme harus dielakkan.

Beliau turut berharap perkara sama juga ditunjukkan kepada semua muzium atau kawasan bersejarah di seluruh negeri ini.

Sebelum itu, turut diadakan taklimat mengenai Ordinan Budaya oleh Kurator Seksyen Penguat Kuasa JMS Dayang Morzanah Awang Haddy.

Selepas itu, turut diadakan gotong-royong membersih kawasan muzium terbabit beramai-ramai antara JMS dan MPM.

Pada sebelah malamnya pula, mereka mengedarkan risalah mengenai kebersihan muzium kepada pengunjung-pengunjung ‘malam’ di sekitar muzium itu.

Semalam (25 Jun), bermula Pameran Setempayan Warisan di Muzium Petroleum Miri anjuran JMS dan MPM.

Advertisement