Anda di sini

Langkah pelihara alam sekitar

Advertisement

Oleh S Connie Pearl Suil //

UMS serah 397 peralatan untuk dilupuskan secara E-Waste

MIZA (kiri) dan Jeannet menyiram anak pokok sebagai simbolik pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyerahkan sebanyak 397 alat elektronik untuk dilupuskan secara E-Waste tanpa memberikan kesan terhadap alam sekitar kepada Recyle Community Malaysia (RCOMM).

Timbalan Dekan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) UMS Dr Jeannet Stephen berkata, pelupusan itu melibatkan peralatan-peralatan elektronik makmal bahasa termasuk komputer, televisyen dan mesin cetak yang terkumpul sejak tahun 1999.

“Pihak UMS mengambil serius perkara ini bagi usaha melestarikan alam sekitar agar ia kekal menjadi warisan generasi akan datang.

“Usaha ini juga diteruskan dengan penubuhan Eco Campus menerusi pelbagai aktiviti serta program kesedaran seperti kempen ‘green campus’ bagi meningkatkan kesedaran awam akan kepentingan pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan peralatan dilupuskan secara E-Waste kepada RCOMM di Foyer PPIB UMS, kelmarin.

Menurut Jeannet, bagi menyokong usaha terbabit pihaknya turut memastikan setiap peringkat PPIB mempunyai tempat kitar semula untuk barangan E-Waste.

Katanya, program itu akan diteruskan dari semasa ke semasa selain mengarahkan pensyarah-pensyarah khususnya di PIBB menyerahkan peralatan elektronik yang tidak digunakan bagi pelupusan secara E-Waste.

Sementara itu, Penolong Kanan Pendaftar PIBB UMS Awina Kamis berkata, setiap pelupusan terbabit mempunyai pekeliling yang telah diluluskan selain kolaborasi bersama RCOMM.

Menurutnya, aset terbabit bernilai RM1 juta bagi seunit setelah susut nilai berbanding nilai terdahulu pada tahun 1999 yang bernilai kira-kira RM1.3 juta.

Turut hadir, Setiausaha Agung RCOMM Miza Pawan dan tetamu kehormat yang lain.

Advertisement