Anda di sini

Klinsmann tolak konspirasi

Advertisement

Jerman, AS bertemu pada perlawanan penentu kelayakan pusingan kedua

RECIFE, Brazil : Bayangan salah satu episod paling terkenal dalam sejarah Piala Dunia bakal berulang apabila Jerman dan Amerika Syarikat (AS) bertemu pada perlawanan penentu kelayakan ke pusingan kedua.

Kedua-dua pasukan berkongsi empat mata pada perlawanan Kumpulan G dan satu keputusan seri di Recife membolehkan keduadua pasukan akan layak ke pusingan kedua, sekali gus memusnahkan impian Portugal dan Ghana, yang bermain di Brasilia pada waktu yang sama.

Ada banyak tarikan dari perlawanan itu kerana jurulatih Jerman, Joachim Loew dan jurulatih AS, Jurgen Klinsmann adalah rakan lama.

Perlawanan seperti ini mengembalikan kenangan perlawanan Piala Dunia 1982 di antara Austria dan Jerman Barat.

Perlawanan di bandar raya Gijon di Sepanyol berakhir dengan kontroversi selepas kedua-dua pasukan merancang kemenangan 1-0 buat Jerman, membolehkan mereka menafikan kelayakan Algeria.

Kejutan dari perlawanan itu masih dirasai sehingga sekarang.

Ini menyebabkan badan induk bola sepak dunia, FIFA, mengubah peraturan dengan mengarahkan semua perlawanan terakhir peringkat kumpulan pusingan pertama, akan dilangsungkan serentak.

Sidang media untuk Jerman dan AS pada minggu ini dipenuhi dengan rujukan kepada skandal 1982, dengan Klinsmann terpaksa menolak cadangan sebarang konspirasi sudah dirancang.

“Anda bercakap tentang satu perlawanan yang berlaku berdekad lalu,” kata Klinsmann apabila ditanya tenang perlawanan di Gijon itu.

“Ia hanya sebahagian dari sejarah Jerman dan bukan Amerika. Saya fikir jika anda melihat pasukan AS sebelum ini, kami sentiasa cuba memastikan sesuatu berlaku,” tambah Klinsmann.

“Kami bermain dengan penuh semangat dan memberikan segala-galanya dalam setiap perlawanan. Kami akan ke Recife dan cuba melakukan segala-galanya untuk menewaskan Jerman. Ia adalah sasaran kami,” katanya.

Kakitangan dan pemain Jerman juga menolak persoalan yang sama tentang kemungkinan berlaku konspirasi.

“Saya boleh berkata dengan tegas ‘tidak’, kami sudah berkata di mana berkata kami mahu memenangi perlawanan dan itulah cara kami akan bermain sepanjang 90 minit nanti,” kata penolong jurulatih, Hansi Flick.

Pemain pertahanan Jerman, Mats Hummels berkata Jerman hanya memikirkan tentang kemenangan.

“Ia sesuatu yang tidak bersemangat kesukanan untuk merancang sesuatu dan bersikap tidak adil, kerana kami hanya mahukan kemenangan,” tambahnya.

“Kami tidak bermain untuk keputusan lain selain dari kemenangan.”

Pengurus besar Jerman, Olivier Bierhoff juga menolak kemungkinan satu keputusan seri.

“Kami mahukan kemenangan. Perkara lain tidak menarik perhatian kami,” ujarnya.

Keputusan seri akan membolehkan Jerman menamatkan saingan Kumpulan G selaku juara, di hadapan AS dengan kelebihan perbezaan gol.

AS harus menyalahkan diri mereka sendiri kerana gagal mengesahkan tiket ke pusingan kedua apabila bolos saat akhir untuk seri 2-2 dengan Portugal pada perlawanan Ahad lalu. — AFP

Advertisement