Anda di sini

Kerosakan kabel punca gangguan elektrik: SEB

Advertisement

KUCHING: Syarikat pembekal elektrik Sarawak Energy Berhad (SEB) ingin menjelaskan gangguan kuasa yang menjejaskan beberapa tempat di bandar raya ini, Bau, Lundu dan Sematan sejak jam 9.07 pagi semalam berpunca daripada kerosakan pada kabel sehingga mengakibatkan letupan kecil pada pengubah voltan 33KV.

Perkara itu seterusnya menyebabkan pengubah di stesen kecil Semenggoh terputus sehingga menjejaskan 72MW di Kuching.

Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Lintang dihubungi untuk mengawal kebakaran di tempat kejadian sebelum pasukan penyelenggaraan memasuki stesen kecil bagi menyiasat kerosakan dan melakukan kerja pembaikan seterusnya mengembalikan tenaga elektrik.

Bagaimanapun, berikutan asap tebal daripada letupan itu, pasukan tersebut hanya dapat memasuki stesen kecil itu pada jam 11.30 pagi.

Kerja membaik pulih dijadualkan siap sepenuhnya jam 6.30 petang.

Proses pengembalian tenaga dimulakan secara berperingkat sejak 11.10 pagi dan terus dijalankan.

SEB dalam kenyataan akhbarnya semalam turut melahirkan penghargaan kepada orang ramai atas kesabaran dan juga kepada Balai Bomba dan Penyelamat Batu Lintang atas kecekapan mereka.

Syarikat itu turut meminta maaf atas segala kesulitan timbul disebabkan keadaan yang tidak dapat dielakkan itu.

Advertisement