Anda di sini

Kerajaan timbang kursus khas untuk pasangan berkahwin kali kedua

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedia mempertimbangkan untuk mewujudkan kursus khas bagi pasangan yang berkahwin kali kedua, terutama yang mempunyai anak daripada perkahwinan pertama.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun berkata kursus itu bagi mengingatkan pasangan baharu akan tanggungjawab menjaga anak tiri masing-masing sekali gus mengelakkan pengabaian dan penderaan kanak-kanak.

“Saya setuju apabila ibu atau bapa yang mempunyai anak, bukan sahaja anak orang kelainan upaya (OKU), tetapi anak normal pun perlu ada kursus yang khusus kerana mereka bukan sahaja berkahwin dengan ibu tetapi juga menjadi bertanggungjawab terhadap anak-anak yang dibawa (daripada perkahwinan pertama),” katanya pada persidangan Dewan Negara, di sini semalam.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Roslin Abdul Rahman yang ingin tahu keperluan bagi pasangan yang sudah mempunyai anak dan ingin melangsungkan perkahwinan kali kedua mengikuti kursus orientasi berkeluarga tiri untuk mengelakkan kes penderaan kanak-kanak.

Azizah berkata kementerian juga menyedari masalah penderaan kanak-kanak yang berlaku kebanyakannya bermula dari rumah dan disebabkan kepincangan institusi kekeluargaan.

Justeru beliau mencadangkan kursus praperkahwinan yang diadakan, sama ada untuk pasangan Islam atau bukan beragama Islam di negara ini ditambah baik terutama dengan memanjangkan tempoh kursus yang diberi.

“Ini bagi memastikan kedua-dua insan yang akan bergelar suami isteri dan juga ibu dan bapa ini betul-betul dapat mengenal pasti dan menghayati tugas serta tanggungjawab mereka dengan baik,” katanya.

Menjawab soalan asal Roslin mengenai bilangan kes penderaan kanak-kanak, Azizah berkata berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 11,338 kes penderaan kanak-kanak dilaporkan bagi tempoh 2011 hingga 2013.

Katanya kes berkenaan termasuk penderaan fizikal, seksual, emosi dan sebagainya.

Selain itu mengenai kes kanak-kanak terutama pelajar sekolah dieksploitasi sebagai peminta sedekah, Azizah berkata kementerian sedang menghasilkan satu pelan tindakan yang bersepadu untuk menangani kes berkenaan.

Katanya pelan yang dihasilkan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu dijangka siap dalam masa terdekat. — Bernama

Advertisement