Anda di sini

Inisiatif Big Data diperkenal

Advertisement

Oleh Suraidah Roslan //

Untuk menyediakan perkhidmatan berkualiti dalam sektor awam

KOTA KINABALU: Seiring dengan usaha sektor awam untuk menyediakan perkhidmatan berkualiti, inisiatif Big Data Analytics (BDA) mula diperkenalkan pada tahun ini.

Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) Datuk Wira Omar Kaseh berkata, pelaksanaan inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk merealisasikan konsep mobile government atau M-Government.

Katanya, inisiatif Big Data membolehkan sektor awam menjana keputusan yang lebih baik bagi mengurangkan perbelanjaan, menyediakan perkhidmatan berkualiti serta mengecilkan jurang kesilapan dalam membuat keputusan.

Di peringkat awal, empat projek perintis BDA dirancang iaitu BDA Price Watch, BDA Sentiment Analysis, BDA Crime Prevention serta BDA Infectious Diseases Forecasting. Ia akan dilaksanakan dengan kerjasama agensi kerajaan yang lain.

Beliau berkata, melihat senario global pada masa kini, pelaksanaan Big Data ini dilihat perlu sebagai alat membuat keputusan yang cekap, berkesan dan terbaik.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Seminar ICT Wilayah Zon Kota Kinabalu di Auditorium Kompleks Kerajaan Persekutuan, di sini kelmarin.

Katanya, Big Data digunakan secara meluas di negara-negara seperti Singapura, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

“Malah, Singapura mengumumkan menjadi hab Big Data di rantau ini (Asia Tenggara). United Kingdom pula melaksanakan Government Digital Service bagi mentransfromasikan perkhidmatan digital kerajaan bagi merangsang pelaburan sektor swasta dalam menganalisis Big Data,” jelasnya.

Omar berkata, kerajaan juga terus komited membangunkan pelbagai aplikasi mudah-alih lain antaranya myhealth dan mykpdnkk.

Di samping itu, Mampu juga mengadakan kolaborasi dengan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) dalam membangunkan teknologi mudah alih dalaman yang memberi latihan kepada 10 pegawai teknologi maklumat dan penolong pegawai teknologi maklumat untuk membangunkan aplikasi mudah alih bagi platform IOS dan Android.

Dalam sektor awam pula, Mampu melaksanakan pelbagai inisiatif teramsuk 1Gov*Net, 1GovUC, Pusat Data Sektor Awam (PDSA) dan Sistem Pengurusan Dokumen Digital (DDMS).

“PDSA membolehkan kos pengurusan dijimatkan melalui pendekatan kolaboratif dan bersepadu. Sehingga kini, sebanyak 125 agensi memperoleh faedah melalui pangkalan data ini.

“Menerusi 1Gov*Net pula, ia menyediakan infrastruktur rangkaian bersepadu dan selamat untuk sektor awam yang diuruskan secara berpusat. Kini, 10,600 lokasi agensi kerajaan telah dihubungkan melalui rangkaian ini,” katanya.

Omar berkata, dalam meningkatkan keberkesanan pentadbiran dan penjimatan kos pengurusan serta operasi perkhidmatan komunikasi secara bersepadu, inisiatif 1GovUC diperkenalkan.

Melalui projek ini, 200,000 pengguna mendapat manfaat daripadanya dan menjelang akhir tahun ini dijangka 250,000 pengguna dijangka menggunakan perkhidmatan 1GovUC.

“Perkhidmatan ini akan diperluaskan kepada Pentadbiran Kerajaan Negeri,” katanya.

Menyentuh mengenai seminar itu, Omar berkata, seminar itu antara lain bertujuan memberi pendedahan dan kefahaman mengenai strategi pelaksanaan BDA dan Open Data bagi sektor awam.

Selain itu, seminar itu juga bertujuan memberi pendedahan mengenai kriteria baharu Malaysia Government Portals & Websites Assesment (MGPWA).

Beliau berharap melalui seminar itu, kakitangan sektor awam akan memberi lebih kefahaman dan kesedaran serta pencerahan mengenai pelaksanaan Big Data dan Open Data dalam sektor awam.

Turut hadir dalam majlis itu adalah Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Abu Bakar Hassan dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Datuk Joseph Guntavid.

Advertisement