Anda di sini

Feri penumpang bawa penumpang berlebihan ditahan APMM

Advertisement

Oleh Amir Anuar //

FERI MV Labuan Express Lima ditahan kerana membawa lebih muatan.

TAWAU: Sebuah feri penumpang yang dikesan membawa penumpang berlebihan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tawau, pagi Isnin lepas.

Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah Tawau Kepten Anor Jaafar berkata, feri terbabit dalam perjalanan dari Jeti Pelancongan Tawau ke Nunukan, Indonesia.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas Feri MV Labuan Express Lima, 38 penumpang warga Indonesia dikesan tidak memiliki dokumen perjalanan diri yang sah.

“Pemeriksaan dijalankan kira-kira jam 11.50 pagi,” katanya di sini kelmarin sambil mengesahkan 57 lagi penumpang yang mempunyai dokumen sah turut ditahan.

Anor berkata, 55 daripada mereka didapati memiliki pasport yang sah tetapi tidak ada pengesahan perjalanan daripada Jabatan Imigresen untuk meninggalkan negara ini.

Manakala, dua lagi penumpang pula dikesan mempunyai MyKad namun tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah untuk keluar dari negara ini.

“Pelanggaran syarat yang ditetapkan itu menyebabkan feri terbabit ditunda dan kesemua penumpang dibawa ke jeti APMM Tawau untuk tindakan lanjut.

“Berikutan itu vessel (feri penumpang) dan nakhoda feri terlibat ditahan serta siasatan kes dijalankan mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau mengingatkan pengusaha-pengusaha perkhidmatan feri supaya mematuhi peraturan sedia ada dan tidak membawa penumpang melebihi had dibenarkan.

Beliau berkata, tindakan membawa lebihan muatan mengundang risiko kemalangan di laut dan mengancam keselamatan penumpang sekiranya berlaku insiden tidak diingini.

“APMM memandang serius hal itu kerana melibatkan nyawa dan keselamatan awam selain mengelak insiden bot tongkang karam di perairan Sepang dan Pulau Carey berulang,” katanya.

Menurutnya, APMM akan sentiasa meningkatkan pemantauan dan rondaan berkala untuk memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara.

Sebarang maklumat mengenai kegiatan yang menyalahi undang-undang Maritim boleh diadukan ke talian MERS 999 atau Hotline APMM Tawau di talian 089-752115.

Advertisement