Anda di sini

Diseret pikap

Advertisement

Oleh Jeremy Lanson //

Lelaki terselamat biarpun tercampak lalu diseret 50 meter dalam nahas dekat Jambatan Tun Salahuddin

PARAH: Anak mangsa bersama seorang anggota bomba menenangkan mangsa di tempat kejadian sementara menunggu ketibaan anggota paramedik.

KUCHING: Pantang maut sebelum ajal, seorang lelaki cedera parah sungguhpun diseret kira-kira 50 meter di bawah sebuah pikap berdekatan Jambatan Tun Salahuddin di sini, semalam.

Difahamkan, mangsa, 48, terdahulu terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika dia bersama anak lelakinya menunggang sebuah motosikal dalam perjalanan menuju ke tempat kerja mereka sekitar jam 9 pagi.

Menurut sumber, motosikal mereka berlanggar dengan sebuah kereta jenis Toyota Mark X menyebabkan mangsa tercampak ke tengah jalan selepas jambatan menuju ke simpang lampu isyarat di Pending.

“Mangsa kemudian ‘disambut’ sebuah pikap menyebabkan dia (mangsa) diseret hampir 50 meter sebelum pemandunya menyedari mangsa tersangkut di bawah pikapnya,” kata sumber.

Orang awam yang menyaksikan kejadian tersebut segera membantu mangsa selain turut menghubungi pihak ambulans.

Dengan bantuan anggota bomba dan paramedik, mangsa yang berasal dari Kampung Bintawa Hulu itu berjaya diselamatkan dan dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan.

Manakala, anak mangsa berusia 25 tahun yang juga mengalami kecederaan dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan di HUS.

Ahli keluarga mangsa juga bergegas ke tempat kejadian sebaik dimaklumkan mengenai kemalangan tersebut.

Siasatan lanjut berhubung kemalangan itu masih dalam siasatan pihak polis.

Advertisement