Anda di sini

Dibelasah gara-gara minta putus

Advertisement

SARIKEI: Seorang lelaki berusia 32 tahun ditahan polis selepas dipercayai bertindak mencederakan teman wanitanya garagara mangsa meminta hubungan mereka diputuskan, kelmarin.

Suspek ditahan oleh sepasukan anggota polis pada kira-kira jam 12.05 tengah malam kelmarin, berikutan laporan yang dibuat oleh mangsa yang berumur 19 tahun.

Dalam laporan, mangsa memberitahu pada 23 Jun, kira-kira jam 8 malam di tempat letak kereta di hadapan sebuah hotel di Jalan Getah di sini berlaku perselisihan faham di antara mereka.

Suspek yang marah selepas mangsa meminta hubungan mereka diputuskan dipercayai bertindak menarik rambut serta menghentak kepala mangsa ke cermin kereta miliknya.

Selepas itu, suspek dikatakan mengambil sebatang besi untuk memukul dan mencederakan mangsa menggunakan pisau pemotong kertas.

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami luka di pipi kiri serta lebam di tangan kanan, kaki kanan dan belakang bahu kanan.

Suspek juga dikatakan telah mengugut mangsa supaya tidak melarikan diri, selain akan mencari dan mencederakan keluarga mangsa.

Sementara itu, pihak polis merampas sebatang kayu belantan, pisau pemotong kertas serta besi mudah laras dari dalam kereta milik suspek.

Suspek telah ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan lanjut dan kemungkinan didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 7 Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Advertisement