Anda di sini

Aksi kanibal Suarez gemparkan Brazil

Advertisement

Itali tersingkir pada pusingan pertama buat kali kedua berturut-turut

NATAL, Brazil: Luis Suarez berdepan dengan satu prospek digantung perlawanan untuk satu tempoh yang panjang selepas mengejutkan Piala Dunia 2014 dengan satu lagi insiden menggigit ketika pasukannya, Uruguay, menyingkirkan Itali dari kejohanan.

Kapten Uruguay, Diego Godin, menanduk gol kemenangan pada minit ke-81 untuk menewaskan Itali 1-0 pada aksi Kumpulan D, yang mengesahkan Itali tersingkir pada pusingan pertama buat kali kedua berturut-turut di Piala Dunia.

Tetapi penyingkiran Itali diselubungi dengan satu insiden melibatkan Suarez – yang sudah dua kali digantung kerana menggigit pemain lawan – tidak lama sebelum gol kemenangan Godin.

Ulang tayang insiden menunjukkan Suarez kelihatan cuba menggigit pemain pertahanan Itali, Giorgio Chiellini semasa tanpa bola.

Chiellini naik berang dan menunjukkan kesan gigitan di bahunya kepada pengadil perlawanan, Marco Rodriguez.

Selepas perlawanan, Chiellini memberitahu televisyen Itali: “Dia menggigit saya, ia sangat jelas sekali, saya masih ada kesan (gigitan) itu.”

“Pengadil seharusnya meniup wisel dan melayangkan kad merah,” tambah beliau.

Suarez cuba menolak insiden itu dengan memberitahu televisyen Uruguay di mana Chiellini sengaja menghadangnya.

“Ada perkara yang berlaku dalam padang di mana anda seharusnya tidak memperbesarkannya,” kata Suarez.

Jurulatih Uruguay, Oscar Tabarez menolak kepentingan insiden itu.

“Saya tidak melihatnya. Saya mahu melihat dahulu insiden itu,” kata beliau ketika memberitahu satu sidang media.

Tabarez juga mencadangkan Suarez menjadi sasaran wartawan.

“Beliau adalah sasaran pilihan oleh banyak media,” kata Tabarez.

Diasak mengenai isu itu, Tabarez kelihatan tidak gembira dan enggan menyelar Suarez.

“Ini adalah Piala Dunia , ia bukan cerita murahan seperti ini.”

Tetapi walaupun komen penafian Suarez, bukti video jelas menunjukkan ‘aksi’ sebaliknya.

Badan induk bola sepak dunia, FIFA, berkata ia akan menyemak laporan pengadil dan akan mengumpul semua elemen yang diperlukan untuk menilai situasi,” kata jurucakap FIFA, Delia Fischer ketika memberitahu AFP.

Tetapi seorang pegawai kanan tidak membuang masa dengan menyelar tindakan Suarez.

“Tiada keraguan di mana Luis Suarez adalah seorang pemain bola sepak yang hebat tetapi sekali lagi, tindakannya menyebabkan beliau terbuka kepada kritikan,” kata naib presiden FIFA, Jim Boyce ketika memberitahu penyiaran BBC.

“FIFA harus menyiasat insiden ini dengan serius dan mengambil apa jua tindakan yang sewajarnya.”

Anggota Jawatankuasa Eksekutif FIFA, Michel D’Hooghe berkata Suarez seharusnya berdepan perbicaraan.

“Ini adalah satu kes yang serius untuk suruhanjaya disiplin,” kata beliau.

Jika didapati bersalah oleh FIFA, insiden itu dijangka akan menamatkan kempen Suarez, yang turut diselar pada Piala Dunia 2010 kerana sengaja menahan bola dengan tangan yang menafikan Ghana satu kemenangan di suku akhir.

Pada November 2010, beliau digantung tujuh perlawanan oleh Persatuan Bola Sepak Belanda kerana menggigit pemain PSV Eindhoven, Otman Bakkal di bahu ketika bermain untuk Ajax.

Suarez digelar ‘Kanibal Ajax’ oleh media Belanda selepas insiden itu.

Pada April 2013, beliau digantung 10 perlawanan oleh Persatuan Bola Sepak Inggeris selepas menggigit pemain pertahanan Chelsea, Branislav Ivanovic pada satu perlawanan di Anfield.

Beliau juga digantung lapan perlawanan pada 2011 kerana mengeluarkan kata-kata berbau perkauman kepada pemain pertahanan Manchester United, Patrice Evra.

Itali, yang kehilangan Claudio Marchisio dalam separuh masa kedua, menyertai beberapa pasukan bola sepak Eropah yang tersingkir di pusingan pertama selepas Sepanyol ( juara bertahan) , England, Croatia dan Bosnia.

Dalam aksi lain Kumpulan D di Belo Horizonte, Costa Rica memastikan penamat Piala Dunia yang buruk buat England apabila seri tanpa jaringan.

Keputusan itu bermakna Costa Rica muncul juara kumpulan dan tidak kalah dari tiga perlawanan, dengan Uruguay muncul naib juara.

Costa Rica akan menentang naib juara Kumpulan C, Greece sabtu ini, selepas kemenangan saat akhir 2-1 ke atas Ivory Coast.

Tendangan penalti lewat oleh Georgios Samaras memastikan kemenangan Greece dan juga melihat impian Ivory Coast berkecai di pusingan pertama sekali lagi.

Ivory Coast bangkit dari ketinggalan menerusi gol Andreas Samaras apabila Wilfried Bony mengikat kedudukan pada minit ke-74.

Pada perlawanan lain, Colombia melengkapkan kelayakan ke pusingan kedua dengan satu lagi kemenangan bergaya apabila menewaskan Jepun 4-1 di Cuiaba.

Juan Cuadrado, James Martinez dan Jackson Martinez (dua gol) memastikan kemenangan Colomb i a sementar a gol sagu hati Jepun dijaringkan oleh Shinji Okazaki.

Perlawanan juga menyaksikan penjaga gol gantian Colombia, Faryd Mondragon mencipta sejarah sebagai pemain paling tua beraksi di Piala Dunia pada usia 43 tahun dan tiga hari.

Penampilan Mondragon melepasi rekod yang dipegang oleh bekas legenda Cameroon, Roger Milan, yang bermain di Piala Dunia pada usia 42 tahun dan 39 hari. — AFP

Advertisement