Anda di sini

Tindakan diambil banteras titik panas dalam negara

Advertisement

KUALA LUMPUR: Sebanyak 129 titik panas dikesan di Sumatera, Indonesia kelmarin berbanding 116 sehari sebelumnya, yang menjurus kepada fenomena jerebu yang kini melanda negara.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G. Palanivel berkata  23 titik panas turut dikesan di Malaysia berbanding 11 bagi tempoh sama.

“Kesemua titik panas yang dikesan dalam negara akan disiasat dan diambil tindakan penguatkuasaan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan semalam.

Enam titik panas dikesan di Pahang, Sarawak (lima), Selangor (empat), Kelantan dan Sabah (masing-masing tiga), serta Johor dan Terengganu (masing-masing satu).

Pergerakan asap jerebu sederhana dari kawasan kebakaran di Wilayah Riau, Sumatera Tengah, dan tiupan angin dari arah barat daya mengakibatkan keadaan jerebu di kawasan tengah pantai barat Semenanjung.

Dalam pada itu, Palanivel menggesa semua pihak tidak melakukan pembakaran terbuka selain membantu memadam kebakaran kecil.

“Semua pihak perlu memastikan tanah atau premis kepunyaan mereka tidak dimasuki atau dicerobohi pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan  pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja,” katanya.

Orang ramai diminta melaporkan kes pembakaran terbuka atau kebakaran lain kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 dan Jabatan Alam Sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727.

Pencemaran jerebu merentas sempadan yang melanda negara ketika ini berikutan musim Monsun Barat Daya dijangka berterusan sehingga September.

Sementara itu, orang ramai dinasihatkan untuk mengurangkan aktiviti di luar berikutan keadaan berjerebu ketika ini yang boleh menjejaskan kesihatan mereka.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Seri Dr Noor Hisham Abdullah berkata mereka juga perlu minum lebih banyak air dan memakai topeng muka semasa berada di luar rumah.

Mereka yang mengalami simptom seperti demam, selesema, batuk dan kerengsaan mata perlu mendapatkan rawatan perubatan, katanya kepada pemberita selepas menghadiri program kesihatan di sini semalam.

Dr Noor Hisham turut mengingatkan orang ramai agar tidak menyalahgunakan sijil sakit (MC) dan menasihatkan majikan mengesahkan MC dikemukakan pekerja mereka. — Bernama

Advertisement