Anda di sini

Kemahiran menjahit kasut sumber pendapatan lumayan bagi Wahab

Advertisement

PERLU KEMAHIRAN: Wahab sedang menjahit kasut pelanggannya di pasar lama Mukah.

KEMAHIRAN menjahit kasut sumber pendapatan lumayan bagi Wahab Razak, 51, semenjak beliau menyediakan perkhidmatan tersebut setahun lalu di Mukah.

Wahab berkata, beliau mula meminati aktiviti menjahit kasut kerana melihat aktiviti tersebut satu perkara yang memerlukan kemahiran dan kesabaran yang tinggi.

Justeru, beliau mula berusaha belajar sedikit demi sedikit kemahiran menjahit kasut sejak umurnya 25 tahun.

“Pada mulanya saya menjadikan aktiviti menjahit kasut ini sebagai aktiviti riadah dengan menjahit kasut yang rosak di rumah kerana minat yang tinggi di dalam diri saya.

“Apabila sudah mahir, maka saya menjadikan aktiviti tersebut sebagai hobi saya,” katanya yang pernah menjadi seorang nelayan.

Selepas menyedari bahawa menjahit kasut boleh mendatangkan pendapatan lumayan, Wahab mula mencuba menyediakan perkhidmatan tersebut di bandar ini.

Tinjauan ke tempat beliau menyediakan perkhidmatan tersebut di pasar lama Mukah baru-baru ini telah menyaksikan kasut dan selipar daripada pelanggan untuk sedia dijahit sekali gus ia merupakan rezeki bagi Wahab untuk mendapatkan pulangan yang lumayan.

“Saya mula mencuba menyediakan perkhidmatan menjahit kasut ini sejak setahun lalu di bandar ini dan saya amat bersyukur kerana sambutan daripada orang ramai sangat menggalakkan.

“Selain menjahit kasut, saya turut menyediakan perkhidmatan menjahit beg tangan, selipar dan zip beg,” katanya.

Menurutnya lagi, aktiviti menjahit kasut ini memerlukan ketelitian, kemahiran dan kesabaran yang tinggi untuk menyiapkan sepasang kasut atau selipar.

“Pada mulanya memang berasa ia susah dan apabila saya lakukannya tiap-tiap hari ia boleh dikatakan sangat mudah dan dalam sehari saya boleh menyiapkan lebih daripada 20 pasang kasut dan selipar,” katanya yang mempunyai sembilan orang anak.

Dari segi keuntungan, Wahab bersyukur kerana paling kurang pendapatan yang diperolehinya dalam sehari ialah RM60 dan jika ramai pelanggan boleh mencecah RM250 sehari.

“Saya amat bersyukur kerana melalui kemahiran seperti ini saya dapat menjana pendapatan yang lumayan untuk saya dan keluarga saya.

“Sekarang saya telah menjadikannya sebagai pekerjaan utama saya untuk menyara kehidupan keluarga,” jelasnya.

Harga yang ditawarkan oleh Wahab ialah RM15 untuk sepasang kasut, RM10 untuk sepasang selipar dan RM5 untuk menjahit zip beg.

Advertisement