Anda di sini

Gotong-royong landasan mengukuhkan perpaduan

Advertisement

Oleh Kepu Sidi //

KERJASAMA: Sebahagian ahli JKKK Jalan Keria Sarikei yang bertungkus-lumus menyediakan bubur pedas.

PENGERUSI Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Jalan Keria Sarikei, Abdul Gani Ali berkata aktiviti dianjurkan secara bergotong-royong oleh penduduk mampu mengukuhkan perpaduan di peringkat akar umbi.

Katanya, usaha seperti ini bukan hanya memberi kelebihan melaksanakan satu kerja tetapi mempunyai banyak kebaikan sama ada yang tersurat mahupun tersirat.

“Kerja bergotong-royong lebih banyak kelebihannya. Usaha ini bukan hanya memberi kelebihan kepada kepantasan menyiapkan sesuatu kerja, tetapi hasilnya adalah lebih baik jika dibandingkan kerja secara individu.

“Dalam perspektif tersebut, perkara ini adalah yang kedua pentingnya. Perkara paling penting yang ingin kita terapkan dengan konsep gotong-royong ialah semangat perpaduan dan nilai-nilai murni.

“Justeru, kita minta masyarakat jangan mengambil mudah dan menggunakan pendekatan tidak ambil kisah setiap kali program seperti ini dianjurkan di kawasan mereka,” katanya pada Program Memasak Bubur Pedas sempena Syaaban 1435H kelmarin dan dihadiri lebih 50 orang penduduk.

Program itu turut diadakan bagi meraikan sambutan Hari Bapa bagi golongan bapa di kawasan kejiranan terbabit.

Sehubungan itu, beliau melahirkan rasa gembira dengan sambutan semua pihak terhadap program berkenaan dan berharap dapat diteruskan pada masa hadapan.

“Kita berharap agar masyarakat memberikan sokongan padu kepada mana-mana pihak menganjurkan program serupa pada masa hadapan dan saya yakin aktiviti ini banyak memberi impak  positif,” katanya.

Advertisement