KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata sebanyak 10,007 kes Tuberculosis atau tibi dilaporkan setakat lima bulan pertama tahun ini.
Beliau berkata daripada jumlah itu sebanyak 8,568 kes membabitkan warganegara Malaysia dan selebihnya adalah warganegara asing.
“Pada 2013, sejumlah 24,071 kes dilaporkan dengan 20,687 daripadanya adalah membabitkan warganegara dan 3,384 dalam kalangan bukan warganegara,” katanyaketika menjawab soalan Senator Datuk Chin Su Phin di Persidangan Dewan Negara, di sini, semalam.
Chin ingin tahu apakah langkah proaktif kementerian dalam menangani penyakit tibi yang semakin membimbangkan terutamanya di Sabah dan adakah ia mempunyai kaitan dengan warganegara asing.
Subramaniam berkata terdapat banyak faktor yang menjadi punca penularan kuman tibi di negara ini dan kedatangan pendatang asing ke negara ini turut menjadi penyumbang kepada penyebaran penyakit itu.
Sekiranya, pekerja asing didapati mempunyai tanda jangkitan tibi, permit bekerja tidak diluluskan dan perlu dihantar balik ke negara asal bagi mengurangkan penyakit tersebut dan membanteras penyebaran kumannya. — Bernama