Anda di sini

RWMF 2014 tonjol seni, budaya pelbagai bangsa

Advertisement

Oleh Henrietta Liza //

MENARIK: Nading Rhapsody yang turut serta membuat persembahan seni dan kebudayaan.

PERHITUNGAN memelihara warisan, kebudayaan dan kesenian sesuatu bangsa terletak kepada golongan dewasa sesuatu negara.

Demikian menurut Nabillah Abdullah yang merupakan penggiat kraf tangan Sarawak sambil menambah golongan muda memerlukan panduan.

“Penglibatan belia amat bergantung kepada golongan dewasa untuk mendedahkan anak mereka kepada budaya dan tradisi tradisional bangsa sendiri kerana golongan ini belum banyak pengetahuan,” katanya ketika ditemui pada konsert hari kedua Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) 2014 di Santubong Sabtu lalu.

Beliau yang juga ibu kepada Syairah Tawan, 22, dari Kuching berkata daripada enam orang anaknya cuma anak keduanya ini amat meminati seni kraf tangan seperti dirinya.

HIBUR: Kumpulan Debademba dari Mali/Burkina Faso,Perancis.

“Kembalinya saya ke sini kerana sukakan kebudayaan…tetapi pada waktu lapang saya biasanya membantu ibu membuat kraf tangan seperti gelang tangan, rantai, gelang kaki, kraf tanah liat, seramik untuk membantu perniagaan ibu,” katanya.

Namun begitu, Syairah terkilan kerana jualan makanan tidak begitu banyak berbanding tahun lepas dan kedatangan pengunjung juga tidak begitu ramai seperti sebelum ini.

Beliau sendiri berasa gerun melihat petugas keselamatan RWMF 2014 agak tegas ditambah pula dengan pasukan K9 berdiri bersama anjing masing-masing di pintu masuk.

Pengunjung kali kedua Patrick Doyle, 48, dari Afrika Selatan datang semula bersama keluarganya dan menggambarkan sesuatu yang indah berlaku di sini.

SERONOK: Antara yang menyaksikan konsert RWMF 2014 Sabtu lalu.

“Konsert pada hari pertama dan kedua mempunyai keistimewaannya tersendiri dan Jumaat lebih santai dan kadang kala bertenaga dan mungkin pada hari Ahad konsertnya akan lebih santai kembali.

“Kami datang semula kerana ia begitu menyeronokkan, tempat yang menarik dan rasa tenang dengan kesinambungan pelbagai bangsa dan agama di sini,” jelasnya.

Patrick sendiri tidak begitu gemar untuk ke bengkel pemuzik yang diadakan pada waktu siang tetapi isteri dan anaknya begitu menyukainya.

“Bengkel Beat Box dan ya, ia menarik tetapi anak dan isteri saya benar-benar menyukai bengkel-bengkel tersebut tetapi saya lebih suka bersantai sambil minum bir”.

Persembahan oleh kumpulan Kalakan, Sepanyol merupakan kegemaran beliau setakat ini.

Menteri Pelancongan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg bersama isteri, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak Dato Rashid Khan dan Pengurus Besar Kampung Budaya Sarawak Jane Lian Labang turut hadir menyaksikan konsert tersebut.

MERIAH: Pengunjung pelbagai bangsa membanjiri pekarangan konsert RWMF 2014 di Santubong pada malam kedua Sabtu lalu.

Advertisement