Anda di sini

Kalimah ‘Allah’: Kebenaran merayu gereja ditolak

Advertisement

The Herald dilarang guna kalimah tersebut, pihak gereja tidak boleh lagi memfailkan sebarang rayuan

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan semalam  menolak kebenaran bagi Gereja Katolik merayu kepada mahkamah itu untuk menarik balik larangan kerajaan terhadap penggunaan kalimah ‘Allah’ yang dirujuk sebagai Tuhan dalam penerbitan mingguan The Herald versi bahasa Malaysia.

Panel yang dianggotai tujuh hakim dan dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Ariffin Zakaria itu membuat keputusan dengan majoriti 4-3 menolak permohonan gereja itu.

Arifin dalam penghakimannya berkata Mahkamah Rayuan telah melakukan ujian yang betul iaitu terhadap tujuannya dan oleh itu keputusan Mahkamah Rayuan adalah juga betul untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Terdapat empat penghakiman, satu daripadanya disampaikan oleh Arifin dan dipersetujui oleh Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif, Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Suriyadi Halim Omar menolak permohonan kebenaran merayu gereja itu.

Sementara Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zainun Ali dan Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha memberikan hujah bertentangan yang memihak kepada gereja berkenaan.

Berikutan keputusan ini, keputusan Mahkamah Rayuan pada 14 Okt tahun lepas yang melarang The Herald daripada menggunakan kalimah itu adalah betul dari segi fakta dan perundangan kerana pihak gereja tidak boleh lagi memfailkan sebarang rayuan.

Pada 31 Dis 2009, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan keputusan Kementerian Dalam Negeri melarang The Herald daripada menggunakan kalimah Allah adalah tidak mengikut perundangan, terbatal dan tidak sah.

Mahkamah Rayuan telah mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Gereja Roman Katolik yang diketuai Ketua Biskop Kuala Lumpur Murphy Pakiam memfailkan semakan kehakiman pada 2009 dan menamakan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan sebagai responden.

Semakan kehakiman itu antaranya menuntut satu pengisytiharan bahawa keputusan kementerian itu melarang penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan The Herald adalah menyalahi undang-undang.

Sementara itu, lebih 300 penyokong daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkumpul di perkarangan Palace of Justice di sini menanti keputusan Mahkamah Persekutuan mengenai kes itu.

Antara NGO yang hadir ialah Pertubuhan Islam Gabungan Amal (PER3), Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) and Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA) dengan para anggota mereka berhimpun seawal 7.30 pagi lengkap dengan sepanduk.

Turut kelihatan ialah Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali. — Bernama

Advertisement