Anda di sini

Azilah bawa polis ke tempat kejadian

Advertisement

PUTRAJAYA: Cif Inspektor Azilah Hadri yang dibebaskan daripada tuduhan membunuh wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu, adalah individu yang membawa polis ke tempat kejadian di dalam hutan di Puncak Alam, Mahkamah Persekutuan diberitahu semalam.

Timbalan Peguam Cara Negara II Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah berkata, Azilah juga yang membawa kepada penemuan tulang si mati sebelum Koperal Sirul Azhar Umar tiba di tempat kejadian bersama pasukan polis lain.

“Polis hanya mengetahui lokasi secara umum dan bukan lokasi khusus tempat kejadian.

“Adalah mustahil bagi polis untuk mengesan kawasan itu yang terletak di atas bukit di dalam hutan, lokasinya tidak mudah dikesan, melainkan mereka mempunyai maklumat,” hujah Tun Abdul Majid pada pendengaran rayuan pendakwa terhadap pembebasan kedua-dua anggota polis berkenaan.

Tun Abdul Majid juga berkata berdasarkan keterangan anggota polis semasa perbicaraan di Mahkamah Tinggi, saksi itu berkata sebaik tiba di hutan, Azilah memberitahunya lokasi kejadian itu dan menceritakan bagaimana Altantuya ditembak dan bahan letupan digunakan terhadapnya.

“Di tempat kejadian pihak polis menemui tulang manusia yang kemudiannya terbukti milik si mati,” hujah Tun Abdul Majid di hadapan lima anggota panel diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria.

Panel itu turut dianggotai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum serta Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Tan Sri Ahmad Maarop.

Pada 23 Ogos tahun lepas, Mahkamah Rayuan membebaskan Azilah dan Sirul Azhar daripada pertuduhan membunuh selepas sebulat suara membenarkan rayuan mereka dan meminda sabitan hukuman mati yang diputuskan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009.

Mereka didapati bersalah membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja di Shah Alam antara 10 malam 19 Okt dan 1 pagi 20 Okt 2006.

Mahkamah Rayuan, dalam penghakiman 47 muka surat, menegaskan bahawa keterangan ikut keadaan yang dikemukakan pendakwaan tidak mencukupi untuk mengekalkan keputusan bersalah kedua-dua anggota polis itu.

Kesalahan mereka tidak dibuktikan dengan memuaskan, “oleh itu, mahkamah terpaksa memberi mereka faedah kesangsian”.

Pendakwaan memfailkan petisyen rayuan pada 3 Jan tahun ini, menyenaraikan enam sebab panel tiga hakim Mahkamah Rayuan telah terkhilaf, dalam undang-undang dan fakta, untuk membenarkan kedua-dua anggota polis itu terlepas daripada tali gantung.

Bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda, 50, yang pada mulanya didakwa bersubahat dengan mereka, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Okt 2008 selepas mendapati pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadapnya.

Tun Abdul Majid berhujah Mahkamah Rayuan terkhilaf dalam undang-undang apabila menolak bukti di bawah Seksyen 27 Akta Keterangan 1950 mengenai penemuan barang kemas kepunyaan Altantuya dalam jaket Sirul Azhar dengan bergantung kepada urutan beberapa kejadian yang mahkamah dakwa wujud percanggahan.

“Walau apa jua urutan kejadian itu, faktanya ialah beberapa barang kemas itu bukti milik si mati ditemui dalam jaket responden kedua (Sirul Azhar) di rumahnya di Kota Damansara,” katanya dan menambah tiada penafian daripada Sirul Azhar bahawa jaket itu miliknya.

Beliau berkata DNA bukti milik Altantuya ditemui di dalam jaket dan menyatakan bagaimana barangan itu berada dalam pemilikan Sirul Azhar.

Beliau juga berhujah bahawa tiada bukti Sirul Azhar diperangkap kerana pihak pendakwa memanggil semua saksi yang berkaitan semasa perbicaraan itu.

Berhubung isu sepasang selipar yang ditemui di dalam kereta Sirul Azhar, Tun Abdul Majid berkata selipar itu bukan kepunyaannya dan saiz selipar itu juga bukan saiz Sirul Azhar.

“Tiada bukti untuk menunjukkan bagaimana selipar itu boleh berada di dalam kereta, tetapi ada darah ditemui pada selipar itu…yang telah kering. Jadi bagaimana darah itu boleh berada pada selipar. Ia mestilah dari tempat kejadian,” kata Tun Abdul Majid.

Berhubung fakta lain, beliau berkata berdasarkan pangkalan data syarikat telekomunikasi, Azilah berada di tempat kejadian di Puncak Alam, pada masa kejadian.

Beliau menyatakan Azilah tidak pernah berada di Wangsa Maju atau Taman Melati, atau Batu Caves, malah tidak berada di Jalan Duta sebelum meneruskan ke Bukit Aman pada masa kejadian seperti yang didakwa dalam alibinya.

Seterusnya beliau berhujah, Azilah juga gagal untuk mengemukakan sebarang saksi untuk alibinya apabila dipanggil untuk membela diri di akhir kes pendakwaan.

Apabila ditanya Hakim Arifin bagaimana pangkalan data syarikat telekomunikasi itu boleh mengesan Azilah berada di tempat kejadian, Tun Abdul Majid berkata stesen penyiaran telefon tertentu boleh mengesan lokasi pemanggil ketika membuat panggilan.

“Log panggilan daripada pegawai polis (responden) telah disahkan oleh pengendali syarikat telekomunikasi yang telah mencetak data dan menandatanganinya dengan menyatakan ia sah,” kata Tun Abdul Majid. — Bernama

Advertisement