Anda di sini

Selangor dapatkan pakar dari WHO dan Singapura kaji kandungan air bekas lombong

Advertisement

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan mendapatkan khidmat pakar dari Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dan negara jiran Singapura bagi membuat kajian terhadap kandungan sumber air termasuk dari tasik bekas lombong dan sungai yang membekalkan air ke pelbagai loji rawatan air di negeri itu.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pihaknya mendapatkan khidmat pakar dari Singapura berdasarkan pengalaman negeri itu mengurus sumber bekalan airnya terutama dalam menghasilkan air yang dikitar semula (NEWater).

“Mengapa Singapura? Sebab NEWater dia ialah hasil air yang mempunyai ‘chemical’ sangat banyak.

“Ramai rakan politik tidak suka Singapura terlibat tetapi kita anggap ini satu usaha profesional yang perlu kita lakukan.

“Kita beri mereka masa dua minggu untuk buat kajian dan selepas kajian barulah mereka buat pengumuman,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Laman Seni Seksyen7 di sini semalam.

Mengulas mengenai dakwaan Ahli Parlimen Klang Charles Santiago kelmarin  bahawa kandungan air yang diperoleh dari tasik bekas lombong mungkin tidak selamat digunakan ketika musim kemarau, Abdul Khalid berkata kenyataan itu perlu disokong dengan kajian ilmiah dan profesional.

Beliau turut membidas kenyataan Charles itu yang disifatkan hanya bertujuan meraih publisiti murahan.

“Kita tidak boleh buat kenyataan dengan tiada sokongan ilmiah, jika tidak kita dianggap membuat spekulasi. Orang awam boleh buat demikian, tapi kerajaan tidak boleh, kerajaan yang bertanggungjawab mesti buat kajian ilmiah.

“Berdasarkan kenyataannya itu boleh jadi Yang Berhormat (Charles) merasakan pakar di Malaysia termasuk doktor, dari Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kimia tidak sampai ke tahap (baik),” katanya. — Bernama

Advertisement