Anda di sini

Pengambilan amah Indonesia masih dalam perundingan

Advertisement

MARAN: Kerajaan masih lagi berunding dengan kerajaan Indonesia berhubung isu pengambilan pembantu rumah dari negara itu, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib.

Beliau berkata setakat ini, masih banyak perkara yang belum dimuktamad termasuk isu bayaran proses pendaftaran, latihan, pemeriksaan dan kesihatan.

“Bayaran proses pendaftaran sebanyak RM7,800 yang dicadangkan oleh kita sebelum ini dikatakan masih lagi murah berbanding negara lain seperti Singapura, Arab Saudi dan negara Asia Barat.

“Keadaan ini menyebabkan pengambilan pembantu rumah tidak dapat dimuktamad,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung kali ke-7 Pertubuhan Peladang Kawasan Chenor di Kampung Awah semalam.

Ismail berkata walaupun 14 negara termasuk Filipina, Myanmar dan Bangladesh  membekalkan pembantu rumah ke negara ini namun belum dapat menampung permintaan tenaga kerja dalam sektor itu, yang sebelum ini dimonopoli Indonesia.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar mengambil pembantu rumah yang sah dan tidak menggunakan ejen haram bagi mengelak mereka menanggung kos tinggi selain kerugian jika pembantu rumah terbabit melarikan diri.

Dalam perkembangan lain, Ismail berkata penyelarasan skim gaji minimum yang bakal dilaksana selepas Ogos ini, adalah hasil perbincangan antara majkan, pekerja, Bank Negara, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Majlis Penyelarasan Gaji Kebangaan.

Beliau berkata ia bukan keputusan kerajaan semata-mata seperti tohmahan pembangkang.

“Kerajaan hanya orang tengah, menerima apa juga keputusan perundingan pihak terbabit yang membuat keputusan tersebut.

“Jika boleh, kita mahukan gaji minimum lebih tinggi, tetapi apa guna gaji naik jika selepas itu majikan atau kilang tutup perniagaan dan gulung tikar,” katanya. — Bernama

Advertisement