Anda di sini

AADK Daerah Sibu dan Mukah anjur program antidadah di PPKS Mukah

Advertisement

SEBAGAI KENANGAN: Zainal (duduk tengah) bergambar bersama kakitangan AADK dan pelatih PPKS.

 

BAGUS: Para pelatih puas hati sambil menunjukkan tanda bagus setelah selesai pembentangan Latihan Dalam Kumpulan.

Oleh Nicklos Louis Kaderi //

PUSAT Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS) Mukah dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Sibu dan Mukah telah menganjurkan program yang bertemakan ‘PPKS Mukah Antidadah’.

Program yang bermatlamat memberi kesedaran akan kemudaratan dadah kepada kesihatan dan nyawa sekali gus menanam sikap untuk membenci dan menjauhkan diri daripada dadah itu merupakan sebahagian daripada aktiviti Minggu Suaikenal 2014 PPKS Mukah, baru-baru ini.

Para pelatih baharu kursus Pembuat Pakaian Wanita Tahap Satu dan Dua serta Pemasangan dan Penyelenggaraan Elektrik Satu Fasa-Tahap Dua yang menyertai program tersebut telah diperkenalkan kepada latar belakang, fungsi dan peranan AADK, sebuah agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri, melalui ceramah yang disampaikan Mohamed Tumi.

Selain daripada itu, beliau turut mendedahkan para peserta kepada jenisjenis dadah, tanda-tanda dan kesan penagihan dadah, punca-punca penagihan dan sebagainya.

Kesan-kesan negatif kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara juga turut diperlihatkan kepada mereka.

Malah, hukuman-hukuman berat yang menanti para pengedar dadah juga ditonjolkan.

Untuk lebih mendalami tentang bahaya dadah ini, aktiviti Latihan Dalam Kumpulan (LDK) turut diadakan.

Melalui LDK, para peserta telah membentangkan hasil tugasan masing-masing untuk dikongsikan bersama rakan-rakan.

Semasa sesi LDK juga, pegawai-pegawai AADK turut berkongsi tip-tip untuk mengelakkan diri daripada dadah kepada peserta-peserta.

Walaupun AADK turut berperanan merawat dan memulih penagih dadah melalui pelbagai saluran antaranya Klinik Cure and Care 1Malaysia, para peserta diingatkan bahawa mencegah itu lebih baik daripada mengubati.

Walaupun gejala dadah tidak mengenal usia, golongan belialah yang paling ramai terjerumus ke dalam kancah tersebut.

Justeru, adalah diharapkan melalui program pendidikan seumpama ini dapat mencegah mereka daripada terlibat dengan dadah sekali gus bersama-sama membanteras dan menghapuskan gejala dadah dalam negara.

Selain merakamkan setinggi- tinggi penghargaan kepada pihak AADK Daerah Sibu dan Mukah, Pemangku Pengarah Kampus PPKS Mukah Zainal Abiddin Ahmad turut mempelawa pihak AADK khususnya dan pihak-pihak lain untuk terus menjalinkan kerjasama bagi melaksanakan aktiviti-aktiviti yang melibatkan golongan belia pada masa akan datang.

Program yang berjalan dengan jayanya itu telah dikendalikan Mohamed, Shamsuziman Ebni, Brain (AADK Daerah Sibu) dan Enddyson Thomas (AADK Daerah Mukah).

 

Advertisement