Anda di sini

JAKIM pantau premis makanan, pastikan ada sijil halal sah

Advertisement

YAN: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan meningkatkan pemantauan secara berkala sepanjang Ramadan nanti bagi memastikan premis makanan seperti restoran dan hotel menawarkan bufet Ramadan yang mempunyai perakuan sijil halal yang sah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata isu halal menjadi keutamaan JAKIM kerana semasa Ramadan terdapat pelbagai jenis makanan akan dihidangkan kepada pengguna Islam untuk berbuka puasa.

Katanya mana-mana pemis yang beroperasi tanpa sijil perakuan halal akan diambil tindakan tegas dan pihaknya tidak akan berkompromi dalam isu itu.

“Kita akan lebih menghalusi soal makan, jadi JAKIM telah susun aktiviti dengan aturkan pasukan-pasukan untuk pemantauan di seluruh Malaysia, terutama untuk penguatkuasaan bagi makanan.

“Dalam bulan Ramadan ini hotel-hotel, restoran-restoran dan kedai makan yang menjual makanan kepada orang ramai berbuka puasa memerlukan pemantauan yang rapi dan kita akan warwarkan nanti sebelum awal Ramadan dengan senarai rujukan termasuk dalam laman web portal,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program Membara Karnival Sukan Parlimen Jerai di Dewan Serbaguna Guar Chempedak di sini semalam.

Beliau yang juga ahli Parlimen Jerai berkata untuk itu, JAKIM akan bekerjasama dengan jabatan agama Islam negeri-negeri bagi menggerakkan pasukan masing-masing dalam menguatkuasakan peraturan berkenaan.

“Pemantauan berkala penting bagi memastikan pengguna tidak tertipu dengan helah pengusaha hotel dan restoran yang ingin mencari keuntungan dengan menawarkan bufet Ramadan tanpa perakuan sijil halal yang sah.

“Pemantauan juga bagi memastikan pemilik restoran atau hotel mengikut syarat dan peraturan yang ditetapkan dengan menggunakan bahan halal yang dipersetujui,” katanya.

Jamil Khir berkata pemantauan itu juga bagi memastikan sijil perakuan halal masih sah digunakan dan tidak tamat tempoh.

Beliau berkata pengguna perlu bijak memilih lokasi berbuka puasa terutama rangkaian hotel dan restoran yang menawarkan bufet Ramadan yang mendapat perakuan sijil halal sah daripada JAKIM dan JAIN.

Pengguna boleh menyemak terlebih dahulu premis makanan atau hotel yang memiliki persijilan halal atau tidak menerusi laman web JAKIM iaitu http://www.halal.gov.my bagi mendapatkan kepastian sebelum membuat pilihan untukberbuka puasa. — Bernama

Advertisement