Anda di sini

Tanggungjawab pegawai perhubungan diperkasa

Advertisement

TAWAU: Inisiatif mewujudkan papan-papan kenyataan di 21 sekolah menengah di daerah ini adalah untuk merealisasikan cita-cita menghasilkan sekolah selamat.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Wira Hamza Taib berkata, sekolah selamat dapat memastikan golongan pelajar menikmati suasana pembelajaran yang kondusif.

“Malah guru-guru juga dapat mengajar dalam suasana yang selesa dan bebas dari persekitaran yang berbahaya dan menakutkan,” katanya.

Teks ucapannya disampaikan oleh Ketua Polis Daerah Tawau ACP Awang Besar Dullah sempena Program Bersatu Memerangi Jenayah Peringkat Daerah Tawau di Auditorium Perpustakaan Tawau, di sini kelmarin.

Hamza berkata, sebagai langkah permulaan Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah menyediakan papan-papan kenyataaan di 21 sekolah menengah di daerah ini.

Menurutnya, papan-papan kenyataan itu dikendalikan Kelab Pencegahan Jenayah di setiap sekolah untuk menyampaikan mesej-mesej berkaitan kesedaran dan pembanterasan jenayah.

“Papan-papan kenyataan ini juga akan memaparkan berita-berita terkini serta isu-isu semasa mengenai aktiviti kelab dan Kor Kadet Polis Sekolah,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif itu adalah kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dengan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Sabah dan Pejabat Pendidikan Daerah.

Hamza berkata, Polis Kontinjen Sabah kini giat memperkasakan semula tanggungjawab pegawai perhubungan di sekolah-sekolah.

“Selain menjalin hubungan baik dengan pentadbir sekolah, pegawai perhubungan sekolah juga berperanan memantau Kelab Pencegahan Jenayah di sekolah-sekolah terlibat,” katanya.

Hadir sama Setiausaha Kehormat MCPF Sabah Datuk Francis Yapp Tai Yen, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Tawau Abdul Hadi Karim dan Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau Superitendan Keong Ho Eng.

Turut hadir Ahli Exco MCPF Sabah Datuk Abdul Wahab Sulaiman dan Datuk Geoffrey Yee, serta Ketua Unit Pembangunan Kemanusiaan PPD Tawau Vaea Sarima.

Advertisement