Anda di sini

Pengalaman rakam gambar perlu diberi penekanan

Advertisement

KUCHING: Setiap sekolah di seluruh negeri ini disaran memberi pendedahan awal atau penekanan terhadap pengalaman merakam gambar menerusi aktiviti fotografi di kalangan pelajarnya.

Menurut Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah, ia turut memberi pendedahan mengenai nilai kemanusiaan yang wujud dalam kehidupan seharian melalui setiap rakaman gambar yang diambil.

“Setiap institusi pendidikan di peringkat sekolah harus mengetengahkan kemahiran mengambil gambar menerusi aktiviti fotografi di kalangan pelajar.

“Aktiviti seumpama ini boleh menjadi aktiviti sampingan selain hanya menekankan aspek akademik, kemahiran dan pendidikan secara teori bahkan turut mendedahkan nilai-nilai kemanusiaan menerusi setiap gambar yang dirakam,” katanya.

Tambah beliau, setiap gambar yang diambil mempunyai jalan cerita untuk menjelaskan setiap kejadian berlaku yang telah dirakam melalui lensa kamera.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucap tama pada Majlis Penyerahan Pakaian Sukan dan Pakaian Seragam Sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Green Road, di sini kelmarin.

Tambahnya, banyak perkara dapat dipelajari melalui aktiviti fotografi sekali gus memberi impak yang besar dalam membina jati diri pelajar.

Majlis Penyerahan Pakaian Sukan dan Pakaian Seragam Sekolah di SK Green Road itu menyaksikan ahli-ahli Persatuan Jurugambar Media Sarawak (SPPA) dan wakil Bank Rakyat Wilayah Sarawak menyerahkan sumbangan berupa pakaian sukan dan pakaian seragam sekolah kepada pelajar yang kurang berkemampuan.

Presiden Persatuan Jurugambar Media Sarawak (SPPA) Mohd Radzi Bujang dalam ucapannya berkata, penubuhan SPPA bertujuan sebagai persatuan yang mengukuhkan hubungan muhibah, kebajikan, kerjasama, persefahaman serta kesejahteraan terutama dalam penganjuran aktiviti kebajikan di kalangan ahli yang merupakan jurugambar media.

“Ini merupakan aktiviti amal kedua daripada SPPA dan pada hari ini, kami (SPPA) menyampaikan pakaian sukan bernilai RM1,072 kepada 38 pelajar yang kurang berkemampuan (ibu bapa berpendapatan RM600 ke bawah).

“Menerusi sumbangan yang disalurkan, SPPA berharap agar pelajar akan bergiat aktif dalam bidang sukan sekali gus mengharumkan nama sekolah yang diwakili,” katanya.

Selain itu, Pengurus Bank Rakyat Cawangan Kota Padawan Sharvina Sarbini turut menyampaikan bantuan pakaian sekolah kepada 53 pelajar SK Green Road dan geran tahunan bernilai RM5,000 kepada SPPA sebagai dana untuk menganjurkan aktiviti kebajikan pada masa akan datang.

Turut hadir Guru Besar SK Green Road Awang Kassim Awang Hussin, ahli-ahli SPPA, wakil Bank Rakyat dan pelajar SK Green Road.

Advertisement