Anda di sini

Jalan pintas ke Surau Darul Jannah, Kampung Datu Baru berbahaya

Advertisement

SIBU: Penduduk Kampung Datu Baru melahirkan rasa bimbang akan keselamatan mereka ketika melalui dua batang jalan pintas menuju Surau Darul Jannah berikutan keadaan jalan yang berbahaya dan memerlukan perhatian serius pihak berkuasa berkaitan.

Pengerusi Jawatankuasa Surau Darul Jannah DSP (B) Bujang Zainuddin Abdul Majid berkata, pihaknya terpaksa menutup jalan pintas Lorong Turki ke surau sejak tiga bulan lepas selepas mendapati jalan pintas itu berbahaya kepada penduduk kampung.

“Penduduk kampung telah lama menggunakan jalan pintas Lorong Turki untuk bersembahyang dan melakukan aktiviti keagamaan di surau. Namun jalan terpaksa ditutup atas faktor keselamatan.

“Jentera berat yang menjalankan kerja-kerja pembinaan berhampiran melalui jalan pintas telah menyebabkan jalan rosak dan cerucuk besi pembinaan parit turut membahayakan penduduk kampung ketika melalui jalan ini pada waktu malam dan hujan,” jelasnya ketika ditemui pemberita, semalam.

Katanya, Jawatankuasa Surau Darul Jannah, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) pernah berbincang dengan pihak berkuasa dan kontraktor.

“Namun, sehingga kini masih tiada jalan penyelesaian dibuat oleh pihak berkuasa dan kontraktor untuk membaiki jalan pintas itu. Oleh itu, penduduk Kampung Datu Baru berharap tindakan segera dapat dilakukan.

“Kami turut berharap pihak kontraktor dapat membaiki jalan pintas Lorong Turki dengan segera sebelum Hari Raya Puasa,” ujarnya sambil menambah, Surau Darul Jannah mampu menampung sehingga 600 orang jemaah dalam satu masa.

Selain itu, Bujang turut berharap pihak berkenaan mengambil tindakan segera menyelesaikan masalah perparitan di jalan pintas dari Surau Darul Jannah ke Jalan Tanjung yang menyebabkan jalan dinaiki air setiap kali musim hujan.

“Jalan pintas dari surau ke Jalan Tanjung dibuat atas inisiatif penduduk kampung. Bagaimanapun, parit di jalan pintas ditutup oleh pihak kontraktor untuk melakukan kerja-kerja pembinaan.

“Ini menyebabkan air hujan bertakung dan mengambil masa tiga hingga empat hari untuk air surut.

“Keadaan ini menyukarkan penduduk kampung ketika melalui jalan pintas,” katanya yang juga pengerusi KRT Kampung Datu Baru.

Sehubungan itu, Bujang juga berharap pihak berkuasa dan kontraktor lebih bertanggungjawab ketika melakukan kerja-kerja pembinaan dengan menitikberatkan aspek keselamatan penduduk kampung.

“Penduduk kampung menyambut baik pembangunan yang dilakukan demi kebaikan masyarakat setempat. Namun, diharapkan aspek keselamatan turut diberi perhatian sama,” tegasnya.

Projek pembinaan penempatan semula kepada mangsa-mangsa kebakaran Kampung Datu sedang dijalankan di sekitar Kampung Datu Baru.

Turut hadir Pengerusi JKKK Kampung Datu Baru Penghulu Hussain Abdul Rasit.

Advertisement