Anda di sini

Buru sehingga ke lubang cacing!

Advertisement

TAHNIAH: Roslan menyemat pangkat baharu kepada Ketua Polis Balai Sentral Kuching, ASP Ricky Poh.

Polis pergiat usaha kesan suspek rompak, tetak wanita di Tabuan Desa

Oleh Jeremy Lanson //

KUCHING: Polis masih memburu suspek kes samun dan rompak yang turut menyebabkan seorang wan­ita cedera parah akibat ditetak dengan pisau pemo­tong daging di Tabuan Desa, di sini pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuch­ing ACP Roslan Bek Ahmad semalam memberi ama­ran keras kepada suspek agar menyerah diri selain memberitahu pihaknya akan melipatgandakan usaha untuk menjejaki suspek.

Menurutnya, anggotanya kini sedang mengumpul bukti dan maklumat berhubung kes tersebut dari semua sudut.

“Kita akan mengumpul semua bukti dan maklumat yang ada untuk memburu penjenayah ini sehingga ke lubang cacing kerana dia bu­kan sahaja telah melakukan jenayah, malah turut menda­tangkan kecederaan.

“Kita amat memandang serius kes ini dan akan men­gumpul seluruh tenaga untuk mengesan suspek ini,” tegas Roslan semasa diminta men­gulas berhubung kes tersebut semalam.

Selain itu, beliau turut menyeru sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat ber­hubung kejadian tampil untuk membantu siasatan.

“Kita juga memohon semua masyarakat yang ada menyak­sikan kejadian tersebut untuk tampil ke hadapan.

“Jangan takut kerana pihak polis akan sentiasa merah­siakan identiti pemberi mak­lumat terutama dalam usaha kita bersama-sama memban­teras jenayah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Roslan menasihati semua pengguna jalan raya untuk menyemak saman trafik tertunggak bagi mengelak daripada dikenakan tindakan di bawah Ops Warta.

“Ops ini telah bermula sejak 16 hingga 27 Jun ini, justeru saya menasihatkan semua masyarakat di Kuching khususnya untuk menyemak sekiranya ada saman-saman trafik yang masih belum dijelaskan.

“Ini kerana, dalam ops ini, pihak polis akan menangkap persalah trafik yang masih belum menjelaskan saman untuk tempoh tertentu,” katanya.

Roslan terdahulu mengha­diri Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.

Beliau pada majlis terse­but turut menyempurnakan upacara pemakaian pangkat kepada beberapa pegawai polis yang dinaikkan pangkat Inspektor kepada Asisten Su­perintenden Polis (ASP).

Advertisement