Anda di sini

Angkara leka

Advertisement

Ahli perniagaan diragut ketika asyik bermain telefon pintar

Oleh Jeremy Lanson //

KUCHING: Asyik bermain aplikasi pada telefon pintar, seorang ahli perniagaan tidak menyedari bahawa dirinya sedang diperhatikan selama beberapa minit sebelum rantai emasnya diragut, pagi semalam.

Insiden dilaporkan berlaku di pekarangan sebuah kedai aksesori kereta di Batu 4, Jalan Penrissen, di sini apabila mangsa yang berusia 40 tahun sedang menunggu keretanya diselenggara sekitar jam 9 pagi.

“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kelihatan seorang lelaki bertopi keledar telah memerhatikan mangsa selama beberapa minit sebelum bergerak ke arah mangsa dan terus meragut rantai (emas) lehernya.

“Mangsa yang ketika itu sedang leka dengan telefon pintarnya tidak menyedari kehadiran suspek sehingga rantainya diragut baharu dia mula untuk melawannya, namun tidak berjaya,” kata sumber.

Suspek melarikan diri dari tempat kejadian dengan menaiki sebuah motosikal yang ketika itu ditunggangi seorang lagi lelaki dipercayai rakan subahatnya.

Difahamkan, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian tangan dan kaki akibat terjatuh ketika cuba mengejar suspek.

Laporan polis berhubung kejadian juga telah dibuat oleh mangsa dan polis kini masih memburu suspek berdasarkan rakaman CCTV tersebut.

 

Advertisement