Anda di sini

Tiada cadangan pinda akta berkaitan taraf agama kanak-kanak bawah 18 tahun

Advertisement

KUALA LUMPUR: Semua pihak perlu mengikut peruntukan undang-undang sedia ada berkaitan pemelukan agama Islam bagi mereka yang berumur bawah 18 tahun, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata jika berlaku sesuatu kes mengenainya, penyelesaian berkaitan perlu merujuk kepada Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut status agama bagi mereka yang berumur bawah 18 tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapa atau penjaganya.

“Dalam kes Sharmala Sathiyaseelan lwn Dr. Jeyaganesh C. Mogarajah & Anor (2004) 2 CLJ 416, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa berdasarkan Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan, agama anak yang berumur di bawah 18 tahun boleh ditentukan oleh ibu atau bapa atau penjaga.

“Berdasarkan keputusan kes ini, persetujuan  satu pihak sahaja adalah memadai dalam penentuan agama seorang kanak-kanak kerana perkataan yang digunakan dalam Perkara 12(4) ini adalah parent or guardian, bukannya parents or guardian, yang membawa maksud ibu atau bapa atau penjaga,” katanya.

Beliau memberi penjelasan demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Ahli Parlimen Ipoh Barat M. Kulasegaran pada persidangan Dewan Rakyat di sini, semalam.

Kulasegaran meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan bila Kerajaan Persekutuan akan membuat perubahan undang-undang bagi melaksanakan keputusan Kabinet pada 2009 supaya mengharamkan kes penukaran dan pengislaman anak-anak tanpa mendapat keizinan dari ibu dan bapa.

Jamil Khir berkata walaupun mesyuarat Kabinet pada 23 April 2009 telah memutuskan bahawa agama seseorang kanak-kanak tidak boleh ditukar oleh satupihak sahaja, sama ada ibu atau bapa atau penjaga, namun kerajaan masih belum bercadang untuk meminda undang-undang berkaitan.

“Semua pihak tertakluk kepada undang-undang yang berkuat kuasa memandangkan kerajaan belum meminda apa-apa peruntukan undang-undang itu,” katanya. — Bernama

Advertisement