KUALA LUMPUR: Australia akan mengumumkan pada akhir Jun berhubung semakan semula kawasan pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang hilang di selatan Lautan Hindi.
Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) berkata data yang diperoleh daripada kajian ‘bathymetric’ (pemetaaan dasar laut) akan digunakan untuk menghasilkan peta kawasan pencarian.
“Kawasan pencarian akan disahkan sebelum akhir bulan ini selepas analisis kerjasama secara ekstensif oleh pelbagai pakar selesai.
“Adalah jelas daripada keputusan sementara analisis bahawa kawasan pencarian akan berpindah tetapi masih pada lengkok tujuh (lokasi terakhir pesawat berkomunikasi dengan satelit),” kata JACC dalam kenyataan semalam.
MH370 yang dalam penerbangan ke Beijing membawa 239 orang bersama 12 anak kapal hilang daripada imbasan radar semasa berada di ruang udara Laut China Selatan, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada jam 12.41 tengah malam, 8 Mac. Pesawat itu sepatutnya tiba di Beijing jam 6.30 pagi hari yang sama.
Misi pencarian yang disertai pelbagai negara dikerah, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian diperluaskan ke Selat Melaka dan Laut Andaman sebelum pasukan mencari beralih tumpuan ke kawasan perairan di barat Australia di Selatan Lautan Hindi, separuh jalan ke Antartika.
Pada 29 Mei, JACC menolak kawasan sekitar isyarat akustik dikesan di Selatan Lautan Hindi pada awal April sebagai tempat berakhirnya MH370.
Enam hari kemudian, pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kawasan pencarian akan diperluaskan tetapi masih kekal di koridor selatan.
Kajian ‘bathymetric’ bagi zon pencarian seluas 60,000 kilometer persegi dijangka mengambil masa tiga bulan.
Kawasan pencarian yang disemak semula kemudian akan digunakan dalam pencarian MH370 di laut dalam yang dijadual bermula pada Ogos. — Bernama