Anda di sini

Malaysia sedia kongsi pengalaman pembangunan luar bandar dengan Fiji

Advertisement

PUTRAJAYA: Malaysia sedia menawarkan pengetahuan dan pengalamannya mengenai program pembangunan luar bandar kepada Fiji, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata kementerian itu boleh membantu Fiji menubuhkan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) untuk meningkatkan kemajuan dan ekonomi penduduk desa; Kampung Abad Ke-21 untuk menukar kawasan luar bandar menjadi tempat lebih menarik untuk menetap dan bekerja serta membangunkan kampung menjadi pusat ekonomi yang dipacu kegiatan pertanian; dan program Cabaran Perniagaan Luar Bandar (RBC) bagi memberi semangat kepada golongan muda Fiji membangunkan perniagaan di luar bandar.

“Kami juga telah mengenal pasti beberapa bidang khusus yang boleh diwujudkan kerjasama mengenai program pembangunan luar bandar dengan rakyat Fiji,” katanya kepada pemberita di sini.

Terdahulu, beliau menerima kunjungan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Maritim dan Pengurusan Bencana Negara dan Menteri Pertanian, Perikanan dan Perhutanan Fiji, Inia Batikoto Seruiratu serta delegasinya ke pejabat beliau.

Sementara itu, Inia Batikoto berkata Fiji membuat keputusan mempelajari daripada kejayaan Malaysia mengenai program pembangunan luar bandar melalui Dasar Pandang Ke Utaranya.

“Kerajaan Fiji sedang mengkaji semula program pembangunan luar bandarnya bagi memastikan masyarakat desa juga menikmati peluang yang dinikmati penduduk bandar.

“Mudah-mudahan, Fiji dapat belajar daripada pengalaman dan pengetahuan Malaysia sebagai rakan utamanya. Kami juga ingin menandatangani memorandum persefahaman sempena kerjasama ini,” katanya. — Bernama

Advertisement