Anda di sini

Lebih 40,000 murid mendapat manfaat SDH

Advertisement

Sekolah Dalam Hospital di Sarawak dijangka beroperasi sebelum penghujung tahun ini

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam berkata sebanyak 40,568 murid yang menerima rawatan di hospital kerajaan telah mendapat manfaat daripada penubuhan 10 buah Sekolah Dalam Hospital (SDH) bagi tempoh Julai 2011 hingga Mac 2014.

Berdasarkan statistik itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata usaha lebih gigih perlu dilakukan untuk mewujudkan lebih banyak SDH di seluruh negara untuk memberi manfaat kepada lebih ramai murid.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana sekurang-kurangnya kita telah menjalankan tanggungjawab kita menyediakan pendidikan kepada kanak-kanak bermasalah kesihatan. Tahniah kepada 80 tenaga pengajar dan 18 pembantu pengurusan murid,” katanya ketika berucap merasmikan Sekolah Dalam Hospital Fasa 2 dan 3 di Hospital Selayang di sini.

Fasa dua melibatkan penubuhan SDH di Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru; Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh di Pahang; Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) di Cheras dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian d Kelantan.

Fasa tiga pula melibatkan Hospital Pakar Sultanah Fatimah di Muar, Johor; Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Hospital Selayang di sini.

Muhyiddin berkata di bawah fasa empat, tiga lagi SDH akan diwujudkan di Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak. Kesemuanya dijangka beroperasi sebelum penghujung tahun ini.

Menurut timbalan perdana menteri, bagi melatih guru-guru SDH pada masa akan datang, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kota Baharu telah dipilih sebagai pusat latihan khusus program itu.

Beliau menjelaskan bahawa penubuhan pusat latihan itu bertujuan membolehkan Kementerian Pendidikan membuat perancangan yang lebih tersusun dan komprehensif untuk melatih guru-guru dengan kemahiran khusus bagi tujuan penempatan di SDH.

“IPG Kampus Kota Bharu pada ketika ini sememangnya telah sedia menjalin kerjasama dengan bantuan tenaga pakar dari HUSM Kubang Kerian dalam aspek latihan guru di SDH,” katanya.

Timbalan perdana menteri menarik perhatian bahawa berkhidmat sebagai guru SDH bukanlah satu tugas mudah kerana selain menyampaikan ilmu serta kemahiran, guru-guru berkenaan juga perlu sentiasa mewujudkan suasana yang mampu menceriakan murid yang menjalani rawatan di hospital agar terus bersemangat meneruskan kehidupan.

“(Dalam masa yang sama) Guru-guru SDH sebenarnya bertuah kerana berpeluang meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran berhubung aspek klinikal yang tidak diperoleh di sekolah biasa,” kata Muhyiddin.

Beliau berkata SDH boleh dianggap sebagai terapi bagi pesakit kanak-kanak iaitu proses rawatan yang bukan bersifat farmaseutikal, sebaliknya menggunakan pendekatan psikologi.

Katanya langkah menggunakan pendekatan psikologi dapat membantu dalam menggalakkan proses pemulihan kanak-kanak.

“Tidak dapat dinafikan bahawa pendekatan berasaskan didik hibur yang digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di SDH serta suasana yang santai dan menyeronokkan memberi kesan amat positif terhadap proses pemulihan kanak-kanak,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu isteri Timbalan Perdana Menteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam dan isteri bekas Perdana Menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali. — Bernama

Advertisement