Anda di sini

Kumpulan C: Jepun, Greece bakal pulang lebih awal

Advertisement

Yoshida yakin pasukannya belum berputus asa untuk teruskan kemaraan ke peringat kedua buat kali ketiga

NATAL, Brazil: Jepun dan Greece berdepan perlawanan yang sangat penting bagi mereka di Piala Dunia 2014 hari ini, selepas kedua-dua pasukan tewas pada perlawanan pertama.

Dengan Jepun tewas 1- 2 kepada Ivory Coast dan Greece dimalukan 0-3 oleh Colombia pada perlawanan pertama dan kekalahan pada perlawanan Kumpulan C hari ini mungkin menyebabkan mereka disahkan tersingkir lebih awal.

Sama ada Jepun atau Greece yang tersingkir dari saingan, bagaimanapun bergantung kepada keputusan perlawanan di antara Colombia dan Ivory Coast pada perlawanan awal.

Tetapi tiada keraguan di mana Jepun dan Greece harus mengelak kekalahan pada perlawanan di Estadio das Dunas sekiranya mahu mengintai peluang melangkah ke pusingan kedua.

Pemain pertahanan Jepun, Maya Yoshida percaya ia adalah penting untuk Jepun menjaringkan gol terlebih dahulu apabila menentang Greece.

“Sudah tentu kekalahan pada perlawanan pertama adalah sesuatu yang sangat mengecewakan tetapi kami masih mempunyai dua lagi perlawanan,” kata Yoshida.

Tetapi beliau yakin pasukan gergasi bola sepak Asia itu belum berputus asa untuk meneruskan langkah ke pusingan kedua buat kali ketiga dalam sejarah pasukan mereka.

“Greece juga tewas pada perlawanan pertama tetapi mereka mempunyai pemain pertahanan dan taktik yang baik,” kata Yoshida.

“Mereka mempunyai formasi pertahanan yang kebal, jadi jika kami boleh menjaringkan gol pertama, permainan mereka akan lebih terbuka dan ia memberikan ruang kepada kami.

” Keisuke Honda, yang bermain dengan hambar dalam separuh masa kedua ketika menentang Ivory Coast selepas membuka jaringan pada minit ke-16, menegaskan rakan-rakan sepasukannya sudah bangkit dari kekalahan di Recife.

“Kami sudah melupakan kekecewaan itu,” kata Honda.

“Kekalahan bukan sesuatu yang mengejutkan, ia bukan kerana kami tidak bermain dengan baik.

“Karektor terbaik Jepun tidak memihak kepada kami.  Kami pasukan yang bersemangat dan apabila bermain terlalu mendesak, ia menjejaskan permainan kami.

” Pemain tengah, Shinji Kagawa pula mencadangkan permainan berhati-hati boleh dielakkan jika Jepun mahu mengelak tersingkir awal.

“Greece akan menyerang, jadi kami tidak mempunyai pilihan selain menggunakan strategi yang sama.

” Tetapi jurulatih Greece, Fernando Santos percaya beliau mempunyai maklumat tentang kelemahan Jepun selepas melihat perlawanan mereka menentang Ivory Coast.

“Kami melihat perlawanan mereka menentang Ivory Coast,” kata Santos.

“Kami memilih maklumat yang menarik dan akan memberitahu pemain.  Kami juga ada menyaksikan perlawanan Jepun sebelum ini dan tahu kelebihan serta kelemahan mereka.  Kami akan bersedia untuk perlawanan ini. ” — AFP

Advertisement