Anda di sini

Dasar dadah negara yang baharu dirangka: KP AADK

Advertisement

SEREMBAN: Dasar dadah negara yang baharu sedang dirangka untuk mengenal pasti strategi, impak dan pendekatan yang lebih berkesan bagi membendung ancaman gejala dadah di negara ini yang didapati semakin membimbangkan.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Suhaimi Abdullah berkata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengarahkan AADK dan beberapa jabatan dan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya berbincang bersama merangka dasar berkenaan.

“Dasar dadah negara yang baharu ini dijangka akan dapat disiapkan akhir tahun ini sebelum ia dilaksanakan mulai tahun depan. Sebelum ini, kita ada dasar dadah negara di bawah arahan tetap Perdana Menteri 2004, tetapi ia tidak mendalam.

“Oleh itu, Menteri Dalam Negeri telah mengarahkan AADK supaya melihat semula dasar dadah negara sebab dasar sebelum ini dilihat tidak ada yang begitu jelas iaitu ke arah mana kita hendak menuju menyelesaikan isu dadah negara ini,” katanya kepada pemberita selepas perasmian bengkel Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) membanteras penyalahgunaan dadah peringkat Negeri Sembilan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Mohd Ali Hassan di sini semalam.

Katanya, bengkel ini yang akan diadakan di setiap negeri merupakan satu daripada proses merangka dasar dadah yang baharu untuk mendapat maklum balas kepada usaha membanteras penyalahgunaan dadah di negara ini.

Katanya dasar itu dirangka bagi mewujudkan negara Malaysia yang bebas daripada ancaman gejala dadah, menjamin kesejahteraan hidup masyarakat dan mengekalkan kestabilan dan ketahanan nasional dengan objektif dasar itu untuk menghapuskan bekalan dan permintaan kepada dadah.

Suhaii berkata AADK sentiasa peka dengan perubahan persekitaran memandangkan gejala penagihan dadah di negara ini didapati semakin membimbangkan apabila ia terus menular di kalangan remaja terutama dengan wujudnya dadah-dadah jenis baharu seperti ATS dan syabu.

“Masalah dadah ini jika tidak dibendung, lambat-laun akan menjejaskan keselamatan negara. Apabila sekali kita terbabit dengan penagihan dadah ini, untuk pulih bukanlah satu usaha yang mudah. Jadi, langkah awal ialah kita tekankan kepada aspek pencegahan supaya masyarakat maklum bahawa dadah ini bahaya dan kita mengambil langkah pencegahan,” katanya.

“Sebagai agensi utama yang membanteras masalah penagihan dadah dalam negara, AADK sentiasa berusaha untuk memberikan maklumat dan menyediakan perkhidmatan secara cepat dan menepati keperluan pelanggannya yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira umur, bangsa, pangkat dan keturunan,” katanya. — Bernama

Advertisement