Anda di sini

Kerajaan diminta tetap harga siling ayam lebih awal

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengumumkan harga siling ayam lebih awal menjelang musim perayaan tahun ini untuk mengelakkan kenaikan harga mendadak di pasaran, cadang seorang wakil PAS pada persidangan Dewan Rakyat semalam.

Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) berkata penetapan harga siling yang terlalu hampir dengan musim perayaan akan menyebabkan berlaku manipulasi harga oleh peniaga dan pembekal.

“Jika hanya tetapkan harga siling ayam contohnya seminggu sahaja sebelum Hari Raya Aidilfitri, ketika itu sudah terlewat kerana secara tidak sengaja harga siling ditetapkan pada paras yang telah tinggi”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang Kawalan Harga dan Antipencatutan (Pindaan) 2014 bagi bacaan kali kedua.

Tambahnya tindakan tegas harus dikenakan bukan sahaja kepada penjual, malah pemborong dan pengusaha, yang turut mengambil kesempatan menaikkan harga setiap kali musim perayaan.

Pada perayaan Aidilfitri tahun lepas, kerajaan menetapkan harga siling ayam pada RM7.70 sekilogram dua minggu sebelum Hari Raya 8 Ogos 2013. — Bernama

 

Advertisement