Anda di sini

Hanya seorang suspek terlibat kes tembak penjual daging

Advertisement

SHAH ALAM: Polis percaya hanya seorang sahaja suspek terbabit dalam kes menembak penjual daging segar di Pasar Besar Kajang awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat berkata ini berdasarkan keterangan yang diperoleh dari lokasi kejadian.

Polis masih menyiasat motif utama kejadian serta sedang mencari bukti di sekitar lokasi, termasuk bertanyakan penduduk setempat selain mencari saksi lain kejadian itu, katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini semalam.

Beliau berkata polis mengambil kira pelbagai kemungkinan meliputi semua aspek termasuk siasatan terhadap latar belakang mangsa dan juga keluarga mangsa.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi, Abd Ghani Abdullah, 50, yang sedang berjalan kaki menuju gerainya di pasar itu melalui jalan belakang, cedera di bahagian bahu kiri dan bawah telinga kanannya setelah ditembak seorang lelaki menaiki motosikal pada jarak kira-kira 10 meter.

Menyentuh kes bunuh pelajar lelaki berusia 14 tahun di Bestari Jaya kelmarin, Abdul Samah berkata polis telah mendapatkan perintah tahanan reman seminggu bermula kelmarin ke atas seorang pengawal keselamatan berumur 30 tahun bagi membantu siasatan kes itu.

Sementara itu, mengenai kes buang bayi di Genting Highlands, beliau berkata 24 pembantu rumah warga Indonesia yang berusia antara 20 hingga 30 tahun yang ditahan bersabit kes itu, telah diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya.

“Kesemua pembantu rumah terbabit ditahan pihak Imigresen atas kesalahan bekerja tanpa permit sebagai pembantu rumah. Suspek kes buang bayi itu pula telah dituduh di mahkamah Shah Alam pagi ini (semalam),” katanya.

Pengurus syarikat perkhidmatan pembersihan Wong Weng Yew dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan membunuh Esmen Zeus Yves, bayi lelaki berumur enam bulan.

Mayat bayi itu ditemui dalam keadaan kembung dan berulat di sebuah gaung berdekatan Genting Highlands awal bulan ini.

Sementara itu, beliau berkata program Kayuhan Basikal Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama IM4U akan diadakan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam di sini Ahad ini dengan melibatkan 2,416 peserta. — Bernama

Advertisement