Anda di sini

Buda ungguli Bina Badan Asia Tenggara

Advertisement

CANTIK: Buda memperaga otot-ototnya pada Kejohanan Bina Badan Asia Tenggara ke-12 di Singapura. — Gambar ihsan Buda Anchah

KUCHING: Atlet bina badan kebangsaan dari Sarawak Buda Anchah sekali lagi mengharumkan nama negara setelah memenangi kategori lightweight 70kg pada Kejohanan Bina Badan Asia Tenggara ke-12 yang berlangsung di Pusat Kebudayaan Universiti, Universiti Kebangsaan Singapura kelmarin.

Atlet kelahiran Jaong, Sri Aman itu mengatasi sembilan pencabar dari Singapura, Kemboja, Thailand, Myanmar, Filipina dan Vietnam untuk merangkul gelaran dalam kategori tersebut.

Ini merupakan kejayaan yang cukup manis bagi Buda pada kejohanan anjuran World Bodybuilding Physique Sports Federation (WBPF) yang diadakan dari 13 hingga 16 Jun.

Ketika dihubungi semalam, Buda berkata kemenangannya itu adalah yang pertama baginya pada tahun ini dan beliau cukup gembira setelah berjaya dinobatkan juara dalam kategori tersebut.

Menurutnya, kemenangan itu cukup berbaloi baginya setelah beliau rela mengorbankan perayaan Gawai Dayak semata-mata untuk membuat persediaan terbaik untuk menghadapi kejohanan tersebut.

“Bukan mudah untuk meninggalkan keluarga tercinta lebih-lebih semasa perayaan Gawai Dayak.

Semua itu saya lakukan demi untuk mendapatkan hasil terbaik dan saya sangat berpuas hati kerana berjaya melakukannya,” katanya.

Menurut Buda, beliau terpaksa mengikuti rejim latihan bina badan yang padat selain diet ketat bagi memastikan beliau benar-benar bersedia untuk bertanding.

Beliau juga menghadiahkan kejayaan itu kepada keluarganya, Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF), Majlis Sukan Negara (MSN), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan kerajaan Malaysia.

 

Advertisement