Anda di sini

‘Badan kehakiman seolah-olah dimalukan’

Advertisement

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan memerintahkan penyelesai Kian Joo Holdings Sdn Bhd (KJH) mengemukakan alasan kukuh bagi menyokong permohonan untuk kebenaran menarik balik pertuduhan menghina mahkamah terhadap peguam Datuk V.K. Lingam dan 24 yang lain.

Tan Sri Suriyadi Halim Omar, yang mengetuai panel lima hakim, menangguhkan prosiding sehingga 24 Julai bagi membolehkan Ooi Woon Chee dan Ng Kim Tuck berbuat demikian.

“Kami sependapat. Kami lihat pertikaian ini sebagai satu kes prima facie bagi pertuduhan menghina, tiada siapa yang membantah permohonan ini. Pejabat Peguam Negara telah mengambil pendirian berkecuali,” katanya.

Suriyadi juga berkata mahkamah seolah-olah telah dimalukan dan tiada siapa yang tampil membela mereka.

“Kami (para hakim) menjadi sasaran (dalam perkara ini). Saya rasa tiada siapa boleh menafikannya. Pergi balik dan fikirkan perkara ini. Datang semula dengan alasan yang lebih bermakna dan kukuh,” katanya.

Terdahulu, peguam S.Suhendran yang mewakili kedua-dua penyelesai memohon mahkamah memberi kebenaran untuk menarik balik pertuduhan menghina mahkamah terhadap 25 individu atas alasan tiada lagi keperluan untuk berbuat demikian kerana OOi dan Ng sudah mengagihkan aset Kian Joo, yang merupakan isu pokok dalam litigasi ini.

Beliau juga berkata pertikaian itu sudah berlangsung selama 19 tahun.

Pada 3 April 2012, Ooi dan Ng memperoleh kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk mendakwa Lingam serta 24 lagi kerana menghina mahkamah selepas mendakwa satu panel hakim Mahkamah Persekutuan memplagiat penghakiman.

Peguam Lingam, A.S Thisinayagam, 12 pencarum majoriti dan 11 pencarum minoriti Kian Joo menyokong permohonan itu.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, yang mewakili Pejabat Peguam Negara, turut memaklumkan mahkamah bahawa mereka tidak membantah permohonan itu.

Bagaimanapun, Ranjit Singh yang bertindak sebagai peguam pemerhati bagi Majlis Peguam berkata pihaknya berpendapat permohonan sedemikian perlu disokong alasan kukuh.

“Ini bukan lagi satu isu peribadi. Badan kehakiman telah dimalukan sejak kebenaran untuk mengambil tindakan menghina mahkamah diperoleh, yang bermaksud terdapat satu kes prima facie bagi pertuduhan itu,” katanya.

Pada 5 Jan tahun lepas, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan membuat keputusan yang memihak kepada dua penyelesai KJH untuk meneruskan penjualan 146.13 juta saham Kian Joo yang dipegang KJH kepada Can-One Bhd bagi RM241.12 juta.

Pada 2009, para pemohon memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi selepas  Can-One memenangi tender untuk membeli 32.9 peratus pegangan dalam KJCF.

Mereka gagal menghalang Can-One daripada memperoleh saham itu di Mahkamah Tinggi namun Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan itu dan kes berkenaan dibawa ke Mahkamah Persekutuan, yang membuat keputusan memihak kepada dua penyelesai itu.

Mereka memfailkan notis usul melalui Lingam, memohon Mahkamah Persekutuan menyemak semula keputusan panel terdahulu.

Mereka memohon Mahkamah Persekutuan membatalkan keputusan panel terdahulu dan memerintahkan pendengaran semula rayuan di depan panel baharu.

Notis usul itu mendakwa penghakiman Mahkamah Persekutuan setebal 47 muka surat itu adalah penerbitan semula hujahan bertulis Ooi dan Ng, tanpa memberi penghargaan kepada mereka.

Mereka turut mendakwa mahkamah tidak melakukan semakan yang adil dan bebas terhadap keterangan serta perundangan, di mana ia tidak melakukan analisis atau menghasilkan dapatan sendiri.

Pada 22 Mei tahun lepas, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan semakan semula Lingam dan 24 yang lain. — Bernama

Advertisement