Anda di sini

50 keluarga di Bagan Ajam diarah pindah

Advertisement

BUTTERWORTH: Lima puluh keluarga di Bagan Ajam dekat sini mahu kerajaan negeri membela nasib mereka kerana mendakwa penduduk di kawasan Parlimen Bagan itu akan dihalau pemaju yang membangunkan kawasan berkenaan.

Menurut penduduk, mereka telah beberapa kali me-ngadu masalah itu kepada Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu Phee Boon Poh dan Anggota Parlimen Bagan yang juga Ketua Menteri Lim Guan Eng tetapi sehingga semalam  tiada sebarang tindakan diambil.

Jurucakap penduduk kampung itu, Wong Sek Li, 40, berkata mereka menerima notis pengusiran daripada pemaju pada November tahun lepas dan perlu mengosongkan kawasan berkenaan Ogos ini bagi memberi laluan kepada projek pembangunan yang belum dipastikan sama ada untuk kondominimum mewah atau pintu masuk ke terowong dasar laut menghubungkan Bagan Ajam di sini dan Persiaran Gurney, di bahagian pulau.

“Kira-kira 200 orang yang terdiri daripada 50 keluarga di kawasan ini terlibat dan kami juga tidak berpuas hati dengan jumlah pampasan yang ditawarkan pemaju iaitu antara RM7,000 hingga RM25,000 kepada setiap keluarga.

“Kami sudah bertemu ADUN dan Ketua Menteri tetapi tiada sebarang tindakan  diambil, kami penduduk di sini rata-ratanya berpendapatan rendah dengan bekerja sebagai nelayan atau bekerja sendiri yang tidak mampu untuk mencari rumah lain sekiranya terpaksa berpindah,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perhimpunan secara aman bagi membantah tindakan pemaju.

Seorang lagi penduduk Sun Siang Tek, 78, yang merupakan nelayan berkata pampasan yang ditawarkan pemaju tidak setimpal dengan keluasan rumah yang didiaminya sekarang malah dengan umur sekarang sukar bagi beliau mendapatkan pinjaman untuk membeli rumah lain.

“Kami kesal kerana kawasan yang diwakili oleh Ketua Menteri sendiri gagal dijaga dengan baik sehingga nasib penduduk diabaikan dan menjadi mangsa pembangunan,” katanya yang merupakan generasi pertama menetap di kawasan itu.

Jirannya K.Murugesan, 70, turut mengakui pampasan RM22,000 yang ditawarkan kepadanya tidak memadai dengan keluasan rumah yang didiaminya sekarang bersama isteri, seorang anak dan tiga cucunya.

“Kami menerima notis mengosongkan rumah dan sudah dua kali menerima surat daripada peguam yang mendakwa itu adalah arahan daripada mahkamah. Biarpun kami dimaklumkan yang tarikh pengosongan itu ditunda ke Ogos namun pihak pemaju beberapa kali datang untuk memotong bekalan air dan elektrik ke rumah kami,” katanya.

Lutfir Rahman Abdullah, 55, pula berkata dia mewarisi rumah di kampung itu daripada mendiang bapanya dan kini menetap di situ bersama isteri dan tiga anaknya.

Beliau berkata penduduk di situ sanggup berpindah jika pemaju sedia memberikan pampasan yang setimpal dengan nilai rumah mereka atau menyediakan rumah ganti sebagai tempat mereka menetap. — Bernama

Advertisement