Anda di sini

Sarawak pertama miliki syarikat pinjaman perumahan

Advertisement

Oleh Rusnan Mustafa //

Mutiara Mortgage and Finance seliaan kerajaan kini miliki dana permulaan RM15 juta: Abang Johar

TRADISI: Abang Johari (tengah) ditemani tetamu kehormat lain menjalankan upacara ‘ngiling tikai’ sebagai simbolik perasmian.

KUCHING: Sarawak menjadi negeri pertama di Malaysia mempunyai syarikat pinjaman kewangan khas untuk pembelian rumah.

Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, syarikat yang diberi nama Mutiara Mortgage and Finance itu di bawah seliaan kerajaan negeri dan kini mempunyai dana permulaan sebanyak RM15 juta.

“Syarikat pengurusan pinjaman kewangan khas untuk pembeli rumah ini dipengerusi oleh Setiausaha Kerajaan Negeri dan diuruskan oleh agensi berkaitan yang pertama diwujudkan di Malaysia bagi membantu mengatasi masalah mereka yang sukar mendapatkan pinjaman daripada institusi bank.

“Kami telah mendapat dana permulaan RM7 juta daripada kerajaan pusat dan RM8 juta daripada kerajaan negeri, menjadikan jumlah dana yang kami ada adalah sebanyak RM15 juta yang akan membolehkan kami memberi pinjaman kepada mereka yang berkehendak untuk membeli rumah yang dibina oleh kami,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis ‘Ngiling Tikai’ anjuran Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak (PPP) di Wisma Sultan Tengah di sini semalam.

Abang Johari menjelaskan, pinjaman kewangan itu khas untuk perumahan yang dibangunkan oleh kerajaan seperti Rumah Mampu Milik (RMM).

Menteri Pelancongan itu menegaskan, selari dengan hasrat itu, pihaknya kini menjalankan penstrukturan semula kesemua agensi di bawah Kementerian Perumahan termasuk PPP bagi memperkasakan sektor perumahan di negeri ini.

Tambahnya, satu kertas kerja telah diserahkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri untuk penambahan beberapa bahagian baharu dalam memastikan dasar perumahan negara dan negeri dapat dilaksanakan secara lebih tersusun.

Pada masa sama beliau memberitahu, penstrukturan semula itu juga bagi melengkapkan hubungan kerajaan negeri dengan kerajaan pusat melalui agensi perumahan seperti Jabatan Perumahan Negara, Suruhanjaya Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Program Rumah 1Malaysia (PR1MA) Berhad.

Mengenai perkembangkan berkaitan, Abang Johari memberitahu dalam Rancangan Malaysia Ke-11 pihaknya menyasarkan untuk membina 50,000 unit perumahan PR1MA di negeri ini.

“Setakat ini kita ada dua projek PR1MA yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat iaitu di dua kawasan di sini, Matang dan Petra Jaya,” jelasnya.

Namun, katanya ia masih menunggu maklum balas daripada Majlis Perancang Negeri untuk pelaksanaannya.

Majlis itu semalam turut dihadiri Menteri Muda Perumahan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Datuk Francis Harden Hollis, ADUN Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi, Pengerusi PPP Datuk Dr Abang Abdul Rauf Abang Zen dan tetamu kehormat lain.

Advertisement