Anda di sini

Rusia kembali untuk buktikan sesuatu

Advertisement

CUIABA, Brazil: Korea Selatan akan berdepan pasukan Rusia yang terdesak untuk membuktikan sesuatu di Cuiaba dalam aksi Piala Dunia 2014 hari ini.

Nasib Korea Selatan merudum sejak zaman kegemilangan pada 2002 apabila menjadi pasukan pertama dari Asia yang melangkah ke separuh akhir.

Tetapi sebelum melangkah ke Piala Dunia yang kelapan berturut-turut, mereka bergelut dalam kempen kelayakan dan hanya layak dengan perbezaan gol.

Mereka juga tewas 0-1 kepada Tunisia pada perlawanan persahabatan untuk persediaan Piala Dunia, selain dibelasah 0-4 oleh Ghana pada perlawanan lain.

Jurulatihnya, Hong Myung- Bo, berasa risau dengan nasib anak buahnya di Brazil dan menyedari kerapuhan benteng menyukarkan pasukannya untuk melepasi Kumpulan H, yang turut terdiri dari pasukan pilihan, Belgium dan Algeria.

Hong, 45, mendapat status bintang di Seoul selepas menyempurnakan satu tendangan penalti yang membawa Korea ke separuh akhir Piala Dunia 2002.

Beliau menegaskan bahawa daripada membuat perbandingan, pasukannya sudah membuat perkembangan dalam 12 tahun terakhir.

“Hakikatnya ialah kualiti bola sepak di Korea Selatan sudah berkembang dengan banyak sejak 2002,” kata beliau.

Korea tiba di Cuaiba pada hari Ahad, 24 jam sebelum Rusia.

Dan sebelum satu sesi latihan di sebuah universiti tempatan, pemain pertahanan, Lee Yong mengambil masa untuk meramal apa yang akan dihadapi oleh beliau dan rakan sepasukannya.

“Ia benar pasukan Rusia agak kuat dan baik dari segi teknikal. Mungkin mereka dari segi fizikal lebih kuat berbanding pasukan Asia seperti kami tetapi kami semua sudah bersedia untuk perlawanan ini, kami memberikan fokus sepenuhnya,” kata beliau.

Tidak seperti Korea, yang sudah biasa beraksi di Piala Dunia, Rusia membuat penampilan pertama mereka sejak 2002, di mana pada 1994, mereka gagal melepasi pusingan pertama kejohanan.

Di bawah kendalian Fabio Capello, Rusia tidak menghadapi banyak masalah melayakkan diri pada kempen kelayakan dan belum tewas dalam 10 perlawanan.

Mereka mempunyai kelebihan fizikal pada perlawanan di Arena Pantanal nanti selepas pernah menewaskan Korea Selatan 2-1 pada perlawanan persahabatan di Dubai, November tahun lepas.

Rusia tiba di Brazil tanpa pemain penting – kapten pasukan, Roman Shirokov, yang mengalami kecederaan lutut dan diganti oleh Pavel Mogilevets.

Pemain pertahanan veteran Rusia, Vasily Berezuktskiy berkata, mereka berada di Brazil untuk membuktikan sesuatu.

“Kami mempunyai sesuatu untuk dibuktikan di Piala Dunia,” kata beliau, yang sudah bermain 78 kali untuk Rusia.

“Ia sudah 12 tahun sejak kali terakhir Rusia bermain di Piala Dunia, jadi objektif kami ialah untuk bermain lebih dari tiga perlawanan.”

Capello, yang juga bekas jurulatih England, dikenali dengan pendekatan berdisiplin dalam latihan dan semasa di England, beliau tidak mendapat banyak sokongan tetapi di Rusia, beliau mendapat sokongan sepenuhnya dari persekutuan dan juga pemain.

“Capello menuntut disiplin dan ia adalah sesuatu yang bagus kerana semua pemain bekerja-keras, memberikan segala-galanya dalam setiap sesi latihan,” kata penyerang Maksim Kanunnikov. — AFP

Advertisement