Anda di sini

RM84.312 juta diagih kepada bekas tentera tidak berpencen

Advertisement

KUALA LUMPUR: Sejumlah RM84.312 juta telah diagihkan kepada 77,737 bekas angota tentera yang tidak berpencen di seluruh negara melalui program Sumbangan Veteran Tidak Berpencen 1Malaysia, persidangan Dewan Rakyat diberitahu semalam.

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri berkata jumlah itu juga meliputi pemberian sumbangan secara sekali bayaran sebanyak RM1,000 setiap seorang kepada 6,575 balu dan duda bekas tentera yang tidak berpencen.

“Pemberian sumbangan ini adalah sebagai pengiktirafan dan penghargaan kerajaan ke atas jasa dan pengorbanan yang mereka curahkan semasa berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara.

“Sebahagian baki daripada peruntukan yang telah disediakan untuk tujuan ini yang tidak digunakan telah pun dipulangkan pada Kementerian Kewangan,” katanya menjawab soalan Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (BN-Mersing) mengenai jumlah perbelanjaan bagi melaksanakan bantuan secara sekali bayaran kepada veteran ATM tidak berpencen.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Mohamad Imran Abdul Hamid (PKR-Lumut) mengenai cadangan menjadikan sumbangan itu sebagai bantuan tetap setiap tahun, Abdul Rahim berkata kerajaan sentiasa mengambil maklum mengenai perkara itu, bagaimanapun pelaksanaannya perlu mengambil kira kemampuan kewangan kerajaan terlebih dahulu.

Katanya kerajaan sentiasa prihatin terhadap kepentingan golongan veteran ATM, antaranya dengan menubuhkan pelbagai agensi termasuklah Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia dan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera. — Bernama

Advertisement