Anda di sini

Polis tahan lima pekerja warga asing bantu siasatan

Advertisement

Oleh RUZAINI ZULKIFLI

KOTA KINABALU: Lima lelaki warga asing yang dipercayai pekerja di pusat ternakan ikan ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes culik di Kampung Air Sapang, Kunak Isnin lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah Senior Asisten Komisioner Omar Mamah, kesemua yang ditahan tidak mempunyai dokumen sah dan berusia antara 20 hingga 30an.

“Kelima-lima lelaki warga asing itu ditahan setakat petang membantu siasatan kes berkenaan.

“Berdasarkan maklumat awal, kesemua mereka merupakan pekerja di pusat ternakan ikan di lokasi insiden serta kawasan berhampiran dengannya,” katanya ketika dihubungi kelmarin.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya kini sedang berusaha mengesan seorang pekerja dikenali sebagai Mazlan yang dipercayai hilang selepas berjaya meloloskan diri daripada diculik sekumpulan lelaki dalam kejadian itu.

Omar berkata, setakat ini polis masih tidak mempunyai sebarang petunjuk lokasi lelaki warga Filipina yang berusia 20 tahun terbabit.

“Berdasarkan maklumat kita terima, individu yang mendakwa dirinya Mazlan ketika itu telah pergi berjumpa salah seorang pemilik pusat ternakan ikan di situ dengan berkata dia dalam keadaan sihat dan selamat daripada insiden berkenaan.

“Bagaimanapun, kita tidak dapat memastikan sama ada individu itu adalah Mazlan sepertimana didakwa dan polis berharap dia segera tampil untuk membantu siasatan kes ini,” katanya di sini kelmarin.

Mengulas lanjut, Omar berkata menurut siasatan awal individu dikenali sebagai Mazlan itu telah memberitahu majikannya bahawa dia bertindak terjun daripada bot dinaiki suspek culik sebelum berenang ke pesisiran pantai di situ.

“Dia kemudiannya telah bertemu dengan salah seorang daripada tiga pemilik pusat ternakan ikan berkenaan kira-kira jam 10 pagi dan memberitahu apa yang terjadi sebelum menghilangkan diri.

“Kita percaya Mazlan bertindak menyembunyikan diri berikutan ketiadaan dokumen yang sah namun polis berharap dia akan tampil pada tempoh terdekat untuk membantu siasatan kes,” katanya.

Terdahulu dalam kejadian jam 12.40 pagi Isnin lepas itu, Mazlan bersama seorang lagi mangsa dikenali sebagai Chan Sai Chiun, 32, dari Perak telah dilarikan sekumpulan lelaki dipercayai lengkap bersenjata, memakai topeng dan berpakaian hitam di sebuah premis ternakan ikan dalam sangkar di Kampung Air Sapang, Kunak kira-kira 10 kilometer dari kawasan pekan Kunak.

Omar dalam pada itu mendedahkan lokasi mangsa setakat ini masih belum dapat dikesan namun pihaknya percayai kumpulan penculik berkenaan telah berjaya keluar dari perairan Malaysia dan sedang menuju ke Selatan Filipina.

 

Advertisement