Anda di sini

PAWE anjur aktiviti senamrobik untuk kesihatan bersama

Advertisement

CERIA: Dr Annuar (baju merah) kelihatan cergas dan ceria ketika melakukan senamrobik bersama ahli PAWE.

PUSAT Aktiviti Warga Emas Sibu (PAWE) yang terletak di Masjid An-Nur Sibu telah mengadakan aktiviti senamrobik pagi kelmarin.

Turut hadir Yang Berhormat Dr Annuar Rapaee, Pengerusi PAWE Abang Hashim Dato Abang Zainuddin dan penghulu-penghulu kampung DUN N49.

Dalam ucapannya, Dr Annuar menyambut baik aktiviti berkenaan.

“Aktiviti pada hari ini (kelmarin) adalah suatu yang baik, kerana ia satu aktiviti untuk kesihatan bersama dan saya berharap akan diteruskan setiap dua minggu sekali.

“Pengunjung warga emas mahupun anak-anak muda, dialu-alukan datang ke pusat ini untuk menikmati kemudahan yang kami sediakan,” ujar beliau.

Tambah beliau lagi, kawasan ini (PAWE) akan dinaik taraf pada masa akan datang bagi keselesaan ahli dan pengunjung.

MASIH BERBISA: Walaupun sudah berusia, ahli PAWE tetap kelihatan cergas semasa aktiviti senamrobik.

Di samping itu, katanya, Pejabat Residen Sibu turut mengadakan aktiviti yang sama iaitu ‘Walk-A-Miles’ di Dataran Sibu setiap Sabtu minggu kedua.

“Di sana juga terdapat pelbagai aktiviti yang disediakan seperti pemeriksaan tekanan darah, kencing manis, barah payu dara dan lain-lain lagi.

“Setiap minggu ketiga, pasti ada aktiviti senaman yang boleh kita sertai kerana tiada apa yang lebih penting selain kesihatan diri,” ujarnya.

PAWE mula beroperasi awal April lalu kini mempunyai lebih 140 ahli berdaftar dan dijangka akan terus meningkat.

Pada 28 Jun nanti PAWE akan mengadakan aktiviti memasak ‘Bubur Surah’ dan ahli yang bukan Muslim dijemput hadir bagi memeriahkan suasana.

Advertisement