Anda di sini

Mayat 16 pengganas Sulu dihantar ke Hospital Lahad Datu, kata polis

Advertisement

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini semalam diberitahu bahawa pasukan keselamatan mengumpul mayat 16 pengganas Sulu di Kampung Tanjung Batu, Lahad Datu dan menghantarnya ke hospital daerah pada tahun lepas.

ASP Zawi Awang berkata beliau dan pasukannya terjumpa 18 mayat ketika menjalankan operasi memintas di sebuah kampung antara 8 dan 10 Mac tahun lepas.

Katanya mereka mendapat arahan supaya mengambil mayat berkenaan pada tengah hari 10 Mac, tetapi hanya dapat mengambil 16 daripadanya kerana dua lagi mayat berada di dalam longkang dalam yang sukar dikeluarkan dengan segera.

“Kesemua mayat dimasukkan ke dalam beg mayat plastik berasingan,” katanya.

Menjawab soalan timbalan pendakwa raya Mohd Dusuki Mokhtar tentang cara mayat berkenaan dibawa keluar dari Kampung Tanjung Batu, Zawi berkata ia diangkut dengan dua trak polis pada jam 5 petang hari tersebut dan dibawa ke Markas Taktikal VAT69 di FELDA Sahabat 16.

“Apabila kami sampai di markas taktikal itu pada 5.30 petang, saya berjumpa dengan seorang pegawai forensik, Superintendant Shaid Aziz, yang mengarahkan saya membawa mayat berkenaan ke sebuah hospital sementara di FELDA Sahabat, yang diurus oleh tentera.

“Di hospital sementara itu, saya diarah menghantar mayat berkenaan ke Hospital Lahad Datu,” katanya.

Beliau berkata kesemua mayat dihimpunkan di dalam sebuah trak polis dan dihantar ke Hospital Lahad Datu pada kira-kira jam 7 malam.

Zawi memberitahu mahkamah bahawa pada 13 Mac tahun lepas, beliau dan pasukannya kembali ke Kampung Tanjung Batu untuk mengambil alih tugas dalam operasi memintas daripada sebuah pasukan lain untuk tempoh tujuh hari lagi (hingga 19 Mac).

Pegawai itu berkata tiada kejadian buruk berlaku dalam tempoh berkenaan.

Tiga puluh tertuduh, terdiri daripada 27 warga Filipina dan tiga penduduk tempatan, dibicarakan kerana pelbagai tuduhan termasuk menganggotai kumpulan pengganas atau melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, merekrut anggota untuk sebuah kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu menjadi anggota sebuah kumpulan pengganas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Feb dan 10 April tahun lepas.

Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung hari ini. — Bernama

Advertisement