Anda di sini

Masyarakat Iban diminta pelihara kesenian, adat

Advertisement

SIBU: Masyarakat Iban diminta memelihara kesenian, adat dan budaya yang semakin terpinggir terutama di kalangan generasi muda.

Kaunselor Pasang Ngalambai berkata, ini penting bagi memastikan warisan kebanggaan orang Iban dapat dikekalkan.

“Kesenian rakyat adalah lambang cara hidup sesuatu bangsa yang mempunyai nilai-nilai murni dan mencerminkan adat resam serta budaya kehidupan seharian mereka.

“Selain itu, ia bukan sahaja perlu terus diperkukuhkan malah harus disemai di kalangan generasi muda yang akan menjadi pewaris kepada kesenian bangsa sendiri,” katanya pada Program Ngiling Tikai di Rumah Anderson Ngalai di Skuau kelmarin.

Hadir sama Pegawai Kesihatan Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) Matehew Paran Chungat.

Kira-kira 200 orang tetamu hadir pada program berkenaan termasuk kakitangan agensi-agensi kerajaan, ahli-ahli MDLBS dan ketua-ketua masyarakat.

Pelbagai acara menarik diadakan termasuk tarian ngajat dan nyanyian.

Bercakap lanjut, Pasang menjelaskan bahawa budaya dan sifat sopan santun, kehalusan budi bahasa dan semangat saling membantu yang menjadi amalan orang Iban juga perlu disuburkan.

“Nilai-nilai sebegini perlu dipertahankan kerana ia merupakan kekuatan identiti orang Iban, jangan biarkan budaya murni ini dilupakan,” katanya.

Advertisement