Anda di sini

Majukan diri dalam bidang teknologi, kata Abang Johari

Advertisement

SIBU: Presiden Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (SABERKAS) Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg menggesa warga SABERKAS terutama golongan muda memajukan diri dalam bidang teknologi.

Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Menteri Pelancongan berkata anak-anak muda harus menerima teknologi dalam kehidupan dan mereka juga mesti tahu menggunakan teknologi baharu.

“Kita di Sarawak beruntung kerana mempunyai projek pembangunan teknologi seperti SCORE dan alam semula jadi yang memberi banyak faedah kepada anak-anak muda kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari Gawai Dayak 2014 SABERKAS Negeri ‘Segulai Sejalai’ di sini yang dihadiri exco-exco SABERKAS, pengerusi SABERKAS cawangan, kaunselor dan penghulu.

Di samping itu, beliau mengajak warga SABERKAS menjadikan Singapura sebagai contoh bagi kemajuan dalam bidang teknologi.

“Kita lihat di Singapura, rata-rata yang tinggal di kondominium mampu mempunyai ‘kebun atas awan’ iaitu ada laman rumah mereka sendiri walaupun tinggal di atas bangunan tinggi.

“Ini jelas menunjukkan untuk masa depan Sarawak yang gemilang, kita harus menerima teknologi dalam kehidupan seharian,” jelasnya.

Dalam pada itu, Abang Johari meminta warga SABERKAS bersatu padu bagi mengeratkan perpaduan dalam komuniti SABERKAS.

“Saya berharap kita terus bersatu dan menjadi contoh kepada generasi muda dalam mengekalkan perpaduan di kalangan ahli SABERKAS Negeri,” katanya.

Advertisement