Anda di sini

Kes kemalangan meningkat sepanjang Ops Gawai

Advertisement

KUCHING: Meskipun jumlah keseluruhan kes kemalangan sempena Ops Gawai menyaksikan penurunan, namun kes kemalangan menyaksikan peningkatan dalam operasi selama 11 hari tersebut.

Pegawai Turus Trafik DSP Alexson Naga Chabu mendedahkan, sebanyak lapan kes kemalangan maut mengakibatkan lapan kematian direkodkan kali ini berbanding tujuh kematian daripada enam kemalangan maut dalam tempoh sama tahun lepas.

Dari segi statistik katanya, jumlah kemalangan maut meningkat sebanyak 33.33 peratus dan jumlah kematian meningkat sebanyak 14.29 peratus.

“Walaupun ramai anggota polis dan penguat kuasa ditugaskan di sepanjang jalan dari Kuching ke Lawas namun kes kemalangan maut masih tidak dapat dielakkan kerana kesedaran pengguna tentang peraturan jalan raya masih rendah dan aspek keselamatan tidak begitu dipedulikan.

“Masih terdapat pengguna terutama motosikal tidak memakai topi keledar dan penumpang motokar tidak memakai tali pinggang keledar dan amalan ini sebenarnya mengundang malang hingga mengakibatkan kematian.

“Apa yang perlu adalah perubahan sikap pengguna bersesuaian dengan konsep Ops Gawai dilancarkan setiap kali musim perayaan Hari Gawai Dayak,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Ops Gawai yang dilancarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak pada 30 Mei lalu yang berakhir 6 Jun merekodkan 466 kes kemalangan berbanding 497 pada tahun lepas, sekali gus menyaksikan penurunan sebanyak 6.24 peratus.

Jumlah kes kemalangan parah dan kemalangan ringan pula menyaksikan penurunan apabila satu kes kemalangan parah direkodkan berbanding tiga kes pada Ops Gawai 2013 sementara dua kes kemalangan ringan dicatatkan pada kali ini berbanding sembilan kes tahun lepas.

“Dari segi statistik kemalangan tersebut, dapat dirumuskan bahawa aspek penguatkuasaan yang dijalankan PDRM Sarawak menunjukkan keberkesanan dan menymbang kepada penurunan kes kemalangan, parah dan ringan berlaku pada Ops Gawai 2014 berbanding Ops Gawai 2013 sempena sambutan Gawai Dayak,” katanya.

Sepanjang Ops Gawai 2014, seramai 750 pegawai dan anggota polis di negeri ini terlibat bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya dan memastikan rumah ditinggalkan berada dalam keadaan selamat.

Advertisement